NEGARA PALESTIN DI PBB: MENANG SORAK, KAMPUNG TERGADAI?


Jumaat lepas, Presiden Mahmoud Abbas secara rasminya telah mengemukakan permohonan supaya Palestin diterima sebagai ‘Negara Ahli’ kepada Majlis Keselamatan PBB. Sehingga kini status perwakilan Palestin hanyalah `anggota pemerhati’ (observer entity), bukan ahli dan bukan negara. Ketegasan beliau meneruskan permohonan tersebut walau ditentang secara jelas oleh Israel and Amerika merupakan langkah yang berani. 

Sebaik mengemukakan permohonan tersebut, beliau masuk memberi ucapan di Perhimpunan Agung PBB yang disambut dengan tepukan gemuruh dan ‘standing ovation’. Ucapan beliau kepada 193 negara-negara ahli PBB ditayang secara langsung dengan skrin besar di Tebing Barat. Jalan dipenuhi dengan rakyat Palestin yang menyokong dan kereta-kereta mengibarkan bendera Palestin. “Saya mendengar orang ramai memanggil-manggil nama ‘Abu Mazen’ (gelaran Mahmoud Abbas), suatu yang tidak pernah saya dengar selama ini” kata pemberita Al Jazeera Cal Perry. Kepulangan beliau di Ramallah disambut ribuan rakyat Palestin sebagai hero. Dengan bangga beliau mengisytiharkan `Kabangkitan Palestin’ (Palestinian Spring) telah bermula. 

Telah sekian tahun imej Mahmoud Abbas, Fatah, PLO dan Palestine Authority (PA) merudum kerana tiada kemajuan dalam rundingan damai sedangkan pada masa yang sama cengkaman Israel semakin kuat dan penjajahan dan pendatang Yahudi terus bertambah. Mandat kerajaan PA telah 3 tahun tamat. Tiada pilihanraya diadakan untuk memperbaharui mandat itu, takut-takut HAMAS menguasai keseluruhan Palestin pula. Peristiwa ini memberi lonjakan dan harapan baru kepada kelangsungan beliau dan Fatah.
Kebanyakkan pemerhati politik antarabangsa berpendapat permohonan Palestin pasti gagal. Laluannya sukar. Abbas perlu mendapatkan sokongan majoriti dari 15 ahli Majlis Keselamatan dan kalaupun beliau berjaya sekalip pun, veto dari Amerika adalah hampir pasti. Pilihan kedua beliau ialah memohon sebagai ‘Negara Pemerhati’ di Perhimpunan Agung. Tak jadi ahli pun tak pe lah, asalkan ada perkataan `negara’. 

Satu persoalan yang kurang ditanya dan dibincang ialah kalaupun permohonan ini berjaya, negara Palestin bagaimanakah yang mereka akan dapat. Dalam ucapannya Abbas menegaskan kesediaan beliau untuk mendirikan Negara Palestin berdasarkan sempadan tahun 1967* yang merangkumi Tebing Barat dan Gaza dengan Bailtul Maqdis Timur sebagai ibunegara. Abbas sendiri mengakui itu hanyalah 22%, tidak sampai suku pun dari tanah asal Palestin, tetapi beliau sanggup menerimanya demi `perdamaian’ dan peluang mendirikan `Negara Palestin’. Tetapi apakah harga perdamaian itu? Apakah sebenarnya yang dibayar demi mendapatkan ‘Negara Palestin’ yang Abbas idamkan itu? Pengisytiharan ini membawa beberapa kesan yang langsung dan tidak langsung, antaranya;
  1. Mengisytiharkan Negara Palestin dalam sempadan tahun 1967 dengan sendirinya melepaskan hak rakyat Palestin terhadap kawasan diluar sempadan tersebut.
  2. Ia menafikan hak rakyat Palestin untuk kembali menuntut tanah dan rumah mereka yang berada diluar sempadan Palestin 1967, yang kini diduduki Israel. Terdapat jutaan rakyat Palestin yang berasal dari kawasan tersebut yang kini menjadi pelarian di negara-negara Arab. Apakah nasib mereka selepas ini?
  3. Ia dengan sendirinya mengiktiraf Negara Israel sekurang-kurangnya berdasarkan sempadan tersebut, sedangkan Israel sendiri belum menetapkan sempadannya.
  4. Berlaku pengiktirafan satu pihak, Palestin mengiktiraf Negara Israel sedangkan Israel belum mengiktiraf Negara Palestin.
  5. Kejayaan permohonan ini tidak akan mengubah kehidupan harian rakyat Palestin. Israel tidak akan berganjak seinci pun dari tanah Palestin, pembinaan koloni Yahudi tidak akan terhenti dan kepungan Gaza dan tetap diteruskan.
  6. Dari segi undang-undang antarabangsa, negara baru Palestin boleh menyaman atau pun disaman di International Court of Justice. Israel akan berpeluang untuk menyaman Palestin bagi setiap roket yang dilancarkan kepadanya. Ini secara tidak langsung melucutkan hak rakyat Palestin untuk mempertahankan diri dan menuntut balik tanahair mereka.
  7. Palestin akan terjerebak dalam satu peperangan baru yang mereka belum bersedia : perbalahan undang-undang antarabangsa yang akan memakan bukan sedikit dari masa, tenaga, kepakaran dan perbelanjaan mereka. Mereka mungkin tenggelam dalam perdebatan undang-undang yang mengalih (distract) fokus mereka dari membebaskan tanahair dan mempertahankan kehidupan rakyat.
Yang jelas keputusan untuk memohon keanggotaan PBB ini tidak dibincang secara melata dikalangan perwakilan Palestin terutamanya di Gaza, kem-kem pelarian di Negara Arab bahkan rakyat Palestin yang bertebaran diseluruh dunia (Palestinian in diaspora). Sedangakan yang menjadi pertaruhan adalah hak dan kepunyaan mereka. Mereka adalah lebih dari 2/3 rakyat Palestin. Siapakah yang memberi kuasa kepada Abbas dan perwakilannya untuk melepaskan hak tanahair Palestin begitu saja? 

“These people don't have a right to act on behalf of the Palestinian people, and they are using the United Nations as a roulette table and gambling with the rights of the Palestinians,” kata Ali Abunimah, pengasas website Electronic Intifada apabila ditemubual oleh al Jazeera.
Kata Fawzi Barhoum, jurucakap Hamas pula : “Abbas made this decision on his own. He did not consult any of the other various Palestinian political powers, which means it falls outside the internal Palestinian consensus,” 

Permohonan ini, kalaupun berjaya tidak akan menjamin hak asas rakyat Palestin – hak untuk pulang ke kampung halaman dan harta benda mereka, hak untuk membuat keputusan sendiri (self-determination) ataupun hak untuk menentang dan mempertahankan diri dari penjajahan Zionis Yahudi yang telah berlarutan 63 tahun. 

US Palestin Community Network (USPCN), sebuah organisasi bebas rakyat Palestin di Amerika menolak usaha ini dalam kenyataan di website mereka : “We call on all Palestinian and Arab community associations, societies and committees, student organizations, solidarity campaigns, to reject fully and unequivocally the Statehood initiative as a as a distraction that unjustifiably and irresponsibly endangers Palestinian rights and institutions.” 

Kata Dima Abi Saab, jurucakap USPCN “The declaration of a Palestinian state would essentially mean that the Palestinian refugees who have been living in refugee camps across the Arab world, waiting to return home, many of which still hold the keys to their original homes, would never be able to return to Palestine.” 

Manakala bagi Yusof Rezqa, penasihat politik kepada Perdana Menteri Ismail Haniyeh pula, “Harga yang dibayar oleh Palestin adalah terlalu tinggi sekadar untuk mendapatkan pengiktirafan simbolik yang tidak akan mengubah apa-apa dalam kehidupan rakyat.” 

Dengan besarnya pertaruhan yang diletak, tanpa mendapat mandat dari keseluruhan rakyat Palestin, sekadar untuk mendapatkan ‘negara simbolik’ dan ‘political leverage’ dalam rundingan akan datang, kita bimbang ia akan menjadi kes Pak Pandir yang klasik : MENANG SORAK, KAMPUNG TERGADAI! 

Ar. Hj Syed Mohd Radhi Syed Sakkaf 

Aqsa Syarif Gombak. 
*Sebagai latarbelakang, tanpa perbincangan dan persetujuan rakyat Palestin, UN Partition Plan 1947 telah memberikan , 55% dari tanah Palestin kepada pendatang Yahudi (peta 3). Berikutan pengisytiharan Negara Israel dan perang Arab-Israel pada 1948 yang cuba menyelamatkan kembali tanah yang diduduki Israel, Israel berjaya menguasai lebih banyak kawasan iaitu hampir 78% dari tanah Palestin. Kawasan inilah terus dijajah dan diperintah oleh Israel sehingga berlakunya perang 1967. Selepas perang 1967, Israel berjaya menguasai lebih banyak kawasan termasuk Semenanjung Sinai di Mesir dan Golan Height di Syria (peta 3). Namun Resolusi PBB 242 berikutan perang tersebut hanya meminta Israel berundur sehingga sempadan sebelum perang 1967 sahaja bukan sempadan 1947, seolah-olah memberi pengiktirafan (legitimacy) kepada kawasan yang dirampas Israel antara 1947 dan 1967. Itupun Benjamin Netanyahu dalam ucapanya di PBB selepas Mahmud Abbas mendakwa resolusi itu hanya meminta Israel berundur ke ‘sempadan yang boleh dipertahankan’ (defensible boundaries). Inilah lebihan kawasan yang tidak dikuasai Israel pada 1967 yang Mahmoud Abbas sedia menerima sebagai 'Negara Palestin’.

sumber: Aqsa Syarif

1 comment:

Bintu Rafee said...

semoga Palestin terbebas dengan kesatuan Ummah islam.