RAF’UL MALAM ANI A’IMMATIL A’LAM

Jun 24, '08 10:58 PM for everyone
Raf’ul Malam Ani A’immatil A’lam
Menolak Celaan Terhadap Ulamak Terbilang
Terjemahan Dan Ringkasan Karangan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah
Bahagian 1

Menjadi kewajipan kepada orang Islam setelah memberi wala’ kepada Allah dan Rasul memberi wala’ kepada orang-orang yang beriman khususnya para ulamak. Semua umat sebelum umat Islam ulamak mereka adalah orang yang paling jahat dikalangan mereka berlainan sama sekali dengan umat Islam kerana ulamaknya mendirikan ajaran Al-Quran dan menghidupkan Sunnah Nabinya.

Hendaklah diketahui bahawa tiada seorang ulamak pun yang diterima secara umum oleh umat Islam sengaja melanggar sunnah Nabi s.a.w samada yang kecil ataupun yang besar, kerana mereka telah bersepakat wajib mengikut sunnah Nabi s.a.w, dan jika berlaku perkara tersebut maka sudah pasti di sana ada keuzuran yang menyebabkan perkara itu berlaku.
Keseluruan keuzuran itu terbahagi kepada 3 perkara:

Pertama : Dia berpendapat hadis itu tidak sabit dari Nabi s.a.w.
Kedua : Dia berpendapat bukan itu maksud yang dikehendaki dari hadis itu.
Ketiga : Dia berpendapat hadis itu telah dimansukhkan.

Ketiga-tiga sebab ini terbahagi pula kepada sebab-sebab yang pelbagai.

Sebab yang pertama:
Hadis tersebut tidak sampai kepadanya, dan barangsiapa yang tidak sampai kepadanya hadis, dia tidak diwajibkan beramal dengan hadis tersebut, dan dia mungkin memberi fatwa dalam masalah tersebut berpandukan kepada dalil yang lain yang kemungkinan bertepatan dengan hadis atau berlawanan denganya.

Sebab ini merupakan sebab yang paling utama berlaku percangahan pendapat ulamak salaf dengan hadis, kerana tiada seorang pun dikalangnan ulamak yang mengetahui semua hadis.
Nabi s.a.w apabila baginda mengajar kepada sahabat tidak semua yang hadir, jadi hadis yang diriwayatkan pada ketika itu tidak sampai kepada sahabat yang tidak hadir. Sehinggakan Khulafa’ Rasyidin yang paling hampir dengan Nabi s.a.w sendiri pun terlepas dari mengetahui sebahagian hadis Nabi s.a.w, sebagimana yang berlaku kepada Saidina Abu Bakar ketika ditanya mengenai harta pusaka bagi nenek beliau mengatakan dia tidak tahu dan dia akan bertanya kepada orang ramai lalu Mughirah bin Syu’bah dan Muhammad bin Maslamah bangun menyatakan bahawa Nabi s.a.w memberi kepada nenek 1/6.

Barangsiapa yang bependapat bahawa semua atau seorang imam tertentu mengetahui semua hadis yang sahih dari Nabi s.a.w maka dia telah melakukan kesilapan yang besar.

Jangan kita katakan bahawa masalah hadis tidak sampai tidak timbul kerana hadis telah dibukukan kerana pembukuan hadis secara menyeluruh itu datang selepas berlalunya zaman imam-imam mujtahid yang diikuti orang. Kita juga tidak boleh mendakwa yang kesemua hadis Nabi s.a.w ialah khusus kepada apa yang sudah termaktub di dalam buku dan kitab kerana kemungkinan ada hadis yang terlepas dari ditulis. Begitu juga kita tidak boleh mengatakan barangsiapa yang tidak mengetahui semua hadis Nabi s.a.w. tidak boleh menjadi mujtahid kerana jika begitu nescaya tiada seorang pun yang layak menjadi mujtahid, akan tetapi seorang mujtahid itu hendaklah dia mengetahui kebanyakan hadis.

Sebab yang Kedua:
Suatu hadis itu telah sampai kepadanya tetapi hadis itu tidak sabit di sisinya. Seperti suatu hadis itu diriwayatkan oleh orang yang tidak dkenal pasti identitinya ataupun majruh yang kemungkinan hadis tersebut sampai kepada orang lain dengan sanad dan perawi yang baik tetapi sampai kepadanya dengan sanad dan perawi yang tidak baik.

Sebab Yang ketiga:
Dia berpendapat hadis yang sampai kepadanya dhoif berdasarkan ijtihadnya yang kemungkinan ulamak lain tidak sependapat dengannya dalam masalah tersebut, dan dalam masalah ini ada beberapa sebab antaranya:

Perawi hadis itu dhoif di sisi sebahagian ulamak dan thiqah pda pandangan ulamak yang lain dan ini perkara yang luas perbahasannya dikalangan ulamak dalam ilmu rijal.
Ulamak itu berpendapat perawi hadis itu tidak mendengar sendiri daripada orang yang meriwayatkan hadis tersebut dan ulamak yang lain berpendapat sebaliknya.

Antaranya lagi ramai ulamak Hijaz berpendapat hadis yang diriwayatkan oleh orang Iraq atau Syam tidak boleh dijadikan hujjah jika asalnya bukan dari Hijaz sehingga berkata salah seorang dari mereka:
( Jadikan hadis ahli Iraq setaraf dengan hadis ahli kitab. Jangan kamu mempercayainya dan jangan kamu mendustakannya).
Kerana ahli Hijaz berpendapat merekalah yang menghimpunkan sunnah dan tidak terlepas dari mereka satu hadis pun.

Sebab Yang Keempat:
Mereka mensyaratkan bagi hadis yang diriwayatkan oleh seorang yang adil lagi hafiz syarat tambahan yang tidak sama dengan ulamak-ulamak lain.Seperti sebahagian mereka mensyaratkan hadis tersebut hendaklah diukur dengan Al-Quran dan Sunnah terlebih dahulu dan sebagianya.

Sebab Yang kelima:
Suatu hadis itu telah sampai kepadanya dan sabit disinya tetapi dia terlupa mengenai hadis tersebut. Perkara ini berlaku juga kepada Al-Quran. Sebagaimana yang berlaku kepada Saidina Umar ketika dia menegah mahar wanita lebih mahal dari mahar isteri dan anak perempuan Nabi s.a.w. kemudian apabila ditegur oleh seorang wanita dengan ayat Al-Quran yang tidak menghalang perkara tersebut lalu beliau mengakuinya.

Sebab Yang keenam:
Seorang ulamak itu tidak mengetahui dilalah dan maksud hadis . Seperti lafaz hadis itu pelik disisinya seperti perkataan "muzabanah","muhalaqah" dan sebagainya. Ataupun dia memahami makna hadis itu berpandukan kepada bahasa dan urufnya yang tidak sama dengan bahasa dan uruf Nabi s.a.w., ataupun lafaz hadis itu mempunyai banyak makna yang bersekutu di dalamnya.

Sebab yang Ketujuh:
Dia berpendapat tiada dilalah atau tidak maksud yang menunjukkan kepada suatu hukum dalam hadis tersebut samada pendapat dia itu betul atau salah. Seperti dia berpendapat lafaz umum yang dikhususkan tidak menjadi hujjah, ataupun suruhan semata-mata tidak menunjukan perkara itu wajib dan sebagainya yang luas perbahasannya.

Sebab yang kelapan:
Dia berpendapat bahawa dilalah atau maksud hadis itu berlawanan dengan dalil yang lain yang menunjukkan bukan itu maksud yang dikehendaki dari hadis tersebut. Seperti lafaz umum yang berlawanan dengan khas ataupun lafaz hakikat yang dikehendaki makna majaznya.

Sebab yang kesembilan:
Dia berpendapat di sana adanya perkara atau dalil yang berlawanan dengan hadis yang menunjukkan hadis itu 1. Lemah, 2. Mansukh atau 3. boleh ditakwil dengan maksud yang lain seperti di sana ada ayat Al-Quran, hadis atau ijmak yang menunjukkan perkara tersebut dan perkara ini ada dua jenis :

Yang pertama: Samada dia berpendapat adanya perkara yang lebih rajih berlawanan dengan hadis daripada ketiga-tiga perkara tersebut tanpa dia menentukan salah satu darinya.

Yang kedua: Ataupun dia menentukan salah satu dalil yang berlawanan dengan hadis daripada ketiga-tiga perkara tersebut kemudian kemungkinan dia tersilap dalam penentuannya seperti dia berpendapat hadis itu mansukh sedangkan hadis tersebut adalah terkemudian daripada hadis yang berlawanan dengannya ataupun dia mentakwil hadis itu dengan maksud yang tidak boleh diterima.

Sebab yang kesepuluh:
Pertembungan hadis dengan perkara yang menunjukkan hadis itu lemah, mansukh atau boleh ditakwil dengan makna yang lain yang mana ulamak lain tidak berpendapat sebegitu ataupun mereka tidak berpendapat perkara tersebut adalah suatu pertembungan antara hadis dengan perkara yang dianggap berlawanan dengannya ataunpun perkara yang berlawanan dengan hadis itu bukanlah perkara yang rajih sehingga dapat menolak beramal dengan hadis tersebut.

Seperti ramai dari kalangan ulamak Kufah yang menolak hadis sahih kerana pada mereka hadis tersebut berlawanan dengan zahir Al-Quran dan pada pandangan mereka zahir Al-Quran mesti didahulukan daripada nas hadis dan kadang-kadang mereka mengatakan suatu ayat itu adalah zahir Al-Quran sedangkan ianya bukan begitu bahkan ulamak lain berpendapat hadis dan Sunnah adalah tafsiran kepada Al-Quran dan tiada pertembungan antara zahir Al-Quran dengan hadis.

SATU FASAL
Dalam banyak masalah meninggalkan dari beramal dengan hadis, boleh jadi di sana bagi seorang ulamak itu ada hujjah tersendiri dalam melakukan perkara tersebut yang kita tidak mengetahuinya kerana ilmu itu luas dan kita tidak mengetahui semua ilmu yang ada di dalam dada ulamak. Seorang ulamak itu pula kadang-kadang beliau menjelaskan hujjahnya dalam melakukan perkara tersebut dan kadang-kadang tidak dan jika beliau menjelaskannya kemungkinan penjelasan itu sampai kepada kita dan kemungkinan tidak samada penjelasan itu tepat ataupun tidak, betul ataupun salah.

Walaupun perkara yang telah kita sebutkan sebelum ini boleh berlaku, tetapi kita tidak boleh berpaling dari beramal dengan pendapat sebahagian ulamak yang jelas hujjahnya lagi bertepatan dengan hadis sahih kerana hendak mengikut pendapat ulamak lain yang tidak jelas hujjahnya walaupun dia lebih alim dan di sana mungkin dia ada hujjah tersendiri dalam menolak hadis tersebut. Kerana kesalahan itu boleh terjadi kepada pendapat ulamak dan tidak kepada dalil syar’ie selagi mana dalil tersebut tidak berlawanan dengan dalil yang lebih kuat.

Jika sekiranya meninggalkan beramal dari sebahagian hadis boleh berlaku kerana sebab-sebab yang telah disebutkan, maka apabila datangnya hadis sahih yang padanya ada hukum halal dan haram tidak boleh sama sekali kita beriktikad bahawa ulamak yang meninggalkan hadis tersebut kerana sebab-sebab tertentu telah menghalalkan perkara yang haram dan mengharamkan perkara yang halal.

Begitu juga jika sekiranya dalam suatu hadis itu ada menjanjikan azab bagi orang yang membuat suatu perkara ataunpun melaknat mereka yang melakukannya maka tidak boleh kita mengatakan kepada seorang alim yang mengharuskannya atau melakukannya termasuk di dalam laknat dan azab tersebut, dan perkara ini tiada khilaf di kalangan umat ini kecuali sebahagian Muktazilah yang berpendapat seorang mujtahid yang tersilap dalam ijtihadnya dikira berdosa akan tetapi perkara ini jelas berlawanan dengan hadis Bukhari dan Muslim yang mana Nabi s.a.w bersabda :( Apabila seorang hakim itu berijtihad lalu betul ijtihadnya maka dia mendapat dua pahala, dan apabila dia berijtihad lalu dia tersilap maka dia mendapat satu pahala). Maka jelas bahawa seorang hakim yang berijtihad itu walaupun dia tersilap mendapat satu pahala di atas usaha ijtihadnya dan kesilapanya dimaafkan kerana hendak mencapai kebenaran dalam semua hukum yang diijtihad adalah mustahil ataupun hampir mustahil.

Di dalam riwayat Bukhari dan Muslim Nabi s.a.w bersabda kepada sahabatnya pada tahun perang Khandak : ( Jangan ada orang yang bersembahyang Asar kecuali apabila dia sampai di tempat Bani Quraizhoh ). Lalu masuk waktu Asar di pertengahan jalan dan sebahagian mereka bersembahyang di situ juga sebelum sampai dan sebahagian yang lain tidak mahu sembahyang kecuali di tempat Bani Quraizhoh dan Nabi s.a.w tidak menyalahkan mana-mana pihak.

Kumpulan yang pertama berpendapat maksud hadis Nabi s.a.w ialah supaya mereka bergerak dengan cepat dan bukan mesti solat Asar di Bani Quraizhoh walaupun terlepas waktu. Kumpulan kedua pula berpegang dengan nas yang umum, dan dari perkara tersebut berlaku khilaf di kalangan ulamak adakah nas yang umum boleh dikhususkan dengan qias? Walaubagaimanapun kumpulan pertama adalah lebih tepat ijtihad mereka.

Akan tetapi perkara ini tidak sama dengan orang yang memberi fatwa kepada seorang yang luka kepalanya di musim sejuk dengan mereka mengatakan dia wajib mandi dari junub walaupun kepalanya luka lalu mati orang tersebut dan Nabi s.a.w mencela orang yang memberi fatwa itu kerana mereka telah tersilap dalam ijtihad sedangkan mereka bukan dari kalangan ahli ilmu dan ulamak.

Syarat yang menentukan seseorang itu termasuk dari kalangan orang yang mendapat seksa jika meninggalkan hadis tidak perlu disebutkan di semua tempat dan keadaan kerana ianya adalah perkara yang diketahui umum.

Begitu juga ganjaran pahala bagi bagi orang yang beramal mestilah memenuhi syarat ikhlas kepada Allah dan tidak musnah amalan mereka dengan murtad dan kedua syarat ini tidaklah disebut di dalam semua hadis yang menjanjikan ganjaran pahala bagi orang yang beramal. Kemudian jika kita jangkakan juga adanya perkara yang boleh menyebabkan seseorang itu termasuk dari kalangan orang yang mendapat seksa dalam meninggalkan dari beramal dengan sesuatu hadis, seseorang itu boleh terlepas dari seksa disebabkan beberapa halangan antaranya :
1. Taubat
2. Istighfar
3. Perbuatan baik yang menghapuskan amalan yang jahat
4. Musibah kehidupan dunia yang menghapuskan dosa
5. Mendapat syafaat dari orang yang boleh memberi syafaat
6. Rahmat daripada Allah Ta’ala.

Apabila tiada salah satu pun halangan yang boleh menyelamatkan seseorang itu dari azab maka barulah seseorang itu mendapat azab yang dijanjikan.
Kesimpulan bagi masalah orang yang meninggalkan dari beramal dengan sesuatu hadis ialah mereka ini terbahagi kepada tiga bahagian :

1. Samada perbuatan mereka itu harus dengan ijmak kaum Muslimin, seperti hadis itu tidak sampai kepada mereka setelah mereka berusaha mencarinya dan dalam masa yang sama mereka berhajat kepada fatwa dan tidak dapat lari dari berijtihad.

2. Ataupun perbuatan meninggalkan hadis itu salah sama sekali, dan perkara ini boleh dikatakan tidak berlaku di kalangan imam-imam mujtahid insyaAllah.

3. Akan tetapi perkara yang kita takuti pada sebahagian ulamak ialah, mereka cuai atau tidak berusaha sepenuhnya dalam berijtihad lalu mereka mengeluarkan fatwa walaupun mereka ada hujjah tertentu dalam masalah yang diijtihad tersebut. Oleh kerana itu para ulamak sangat takut kepada perkara seperti ini kerana bimbang ijtihad yang sesuai dan muktabar tidak wujud dalam masalah tersebut.

Perbuatan seperti ini adalah berdosa, akan tetapi azab yang dijanjikan bagi dosa seperti ini terkena kepada orang yang tidak bertaubat, dan ianya boleh terhapus dengan istighfar, perbuatan yang baik, musibah, syafa’at dan rahmat dari Allah Ta’ala.

KEBANGKITAN GERAKAN ISLAM: DARI MASA TRANSISI MENUJU KEMATANGAN

Tajuk asal: al-Shahwah al-Islamiyyah min al-Murahiqah ila al-Rusyd.
Penulis: Syaikh Yusuf al-Qaradhawi.
Penerbit: Pustaka al-Kautsar, Jakarta 2003.
Pengedar: Pustaka Indonesia (03-2692 3940, 03-2698 1742)
Harga: RM 43.80 (6.25 by 9.5 inci, 430 ms).

Setiap insan di dalam perjalanan mereka menuju kedewasaan pasti akan melalui beberapa peringkat hidup bermula daripada bayi kepada kanak-kanak, remaja sehinggalah dewasa. Setiap peringkat ini memiliki ciri-cirinya yang tersendiri. Bayi sentiasa perlukan penjagaan, kanak-kanak asyik bermain, remaja sentiasa bersemangat manakala dewasa bersifat matang lagi cermat.

Demikianlah juga dengan gerakan kebangkitan Islam mutakhir ini. Alhamdulillah, gerakan ini kini sudah mula kelihatan dan dirasai di seluruh pelusuk dunia, sama ada di negara yang majoritinya Islam atau bukan Islam. Akan tetapi jika dianalisa dengan mendalam, boleh dikatakan bahawa gerakan kebangkitan ini lebih memiliki ciri-ciri bersemangat daripada berilmu, bersifat terburu-buru daripada bertenang, bersifat cuai daripada cermat dan bersifat baru daripada matang. Dalam ertikata lain, gerakan kebangkitan Islam mutakhir ini lebih mirip kepada ciri-ciri remaja yang dalam perjalanan menuju kedewasaan.

Inilah analisa Syaikh Yusuf al-Qaradhawi dan di atas analisa inilah beliau menulis buku yang khas bertujuan membimbing gerakan kebangkitan yang bersifat remaja ini ke arah kedewasaan yang sepenuhnya. Dalam bimbingannya ini Syaikh al-Qaradhawi telah menggariskan sepuluh poin utama, iaitu:

Pertama: Beralih daripada format dan simbol kepada hakikat dan kandungan. Pada zahirnya kelihatan gerakan kebangkitan Islam hanya menumpukan perhatian kepada perkara-perkara yang mencorakkan simbol dan meninggalkan isi kandungannya yang jauh lebih penting. Umpama seseorang yang selalu membesar-besarkan kedudukan jari telunjuk di dalam bacaan tasyahud solat tetapi di waktu yang sama meninggalkan perbincangan tentang sebab, tujuan dan kepentingan tuntutan solat itu sendiri secara keseluruhannya.

Kedua: Beralih daripada perdebatan kepada perbuatan. Sebahagian gerakan Islam gemar membakar tenaga mengungkit kesalahan dan kelemahan gerakan yang lain. Di waktu yang sama gerakan itu sendiri tidak berbuat apa-apa yang bermanfaat secara menyeluruh kepada Islam dan umatnya. Sikap sebegini perlu berubah. Tenaga dan masa seharusnya dibakar demi manfaat Islam dan umatnya manakala apa-apa kelemahan atau kesalahan gerakan lain seharusnya dibetulkan secara positif.

Ketiga: Beralih daripada sikap emosional kepada sikap ilmiah. Kerana semangat yang berlandaskan emosi tanpa kematangan yang berlandaskan ilmu, didapati sebahagian gerakan Islam cenderungkan mengkritik, melabel dan menghukum sesama umat Islam tanpa berlandaskan ilmu yang sebenar. Bahkan di dalam tindakan itu sendiri jelas terserlah sifat-sifat kejahilan yang keamatan. Sikap sebegini perlu berubah, seharusnya semangat itu didirikan di atas ilmu atau sekurang-kurangnya selari dengan tahap ilmu.

Keempat: Beralih daripada sikap menumpukan perhatian dalam masalah cabang kepada masalah pokok. Seringkali gerakan Islam menumpukan perhatian hanya kepada masalah cabang, seperti membaca Basmalah dengan kuat atau perlahan di dalam solat berjamaah tetapi diwaktu yang sama meninggalkan masalah pokok, seperti orang yang yang tidak bersolat jamaah langsung. Seharusnya gerakan Islam memberi tumpuan yang mendalam kepada masalah pokok dan bersikap toleran dalam masalah cabang. Apa guna mengukuhkan cabang jika pokoknya sendiri amat lemah?

Kelima: Beralih daripada sikap menyulitkan kepada sikap memudahkan. Islam adalah agama yang sentiasa berciri-cirikan kemudahan. Akan tetapi sayang sekali sebahagian gerakan Islam memiliki ciri-ciri menyulitkan sehingga menyebabkan banyak orang menjauhi Islam, umpama mereka ada yang memaksa seseorang yang baru hendak memeluk Islam dengan amalan bersunat padahal amalan ini bukanlah sepatutnya menjadi agenda pertama di dalam dakwah kepada kaum bukan Islam.

Keenam: Beralih daripada sikap jumud dan taklid kepada sikap ijtihad dan pembaharuan. Di antara gerakan Islam masih ada yang berpendapat bahawa pintu-pintu ijtihad telah ditutup dan pembaharuan hukum Islam adalah tidak perlu. Mereka memaksa umat Islam untuk bertaklid kepada mazhab-mazhab tertentu sahaja dan apa-apa perkembangan terbaru dalam tamadun manusia adalah sesuatu yang harus ditinggalkan kerana ia, kononnya, tidak dirangkumi oleh syari‘at Islam. Sikap negatif seperti ini perlu diubah, pertama kerana para imam mazhab sendiri tidak memaksa umat Islam untuk bertaklid kepada mazhab mereka dan kedua, para imam mazhab sendiri berubah-ubah fatwa mereka selari dengan peredaran zaman dan tamadun semasa kehidupan mereka sendiri.

Ketujuh: Beralih daripada sikap Eksklusif kepada sikap Inklusif. Eksklusif ialah sikap mengunggulkan diri sendiri dan menyisihkan orang lain manakala Inklusif ialah sikap merendahkan diri sendiri agar sama rata mencakupi semua orang. Malang sekali sikap eksklusif, yang mirip kepada sifat Iblis yang enggan bersujud kepada Adam alaihi salam, telah menjadi ciri-ciri sebahagian gerakan Islam. Masing-masing mengunggulkan gerakan sendiri sehingga akhirnya menjadilah gerakan Islam sesuatu yang berpisah-pisah. Seharusnya sifat eksklusif ini dikikis dan diterapkan sikap inklusif yang berciri-cirikan jamaah dan kerjasama.

Kelapan: Beralih daripada sikap berlebih-lebihan kepada sikap bersederhana. Islam adalah agama pertengahan, apa yang berpisah daripada pertengahan ini disebut sebagai berlebih-lebihan (Ghuluw). Agama pertengahan ini tidak condong ke sikap remeh dan tidak juga condong kepada sikap fanatik. Sayang sekali ada di antara gerakan Islam yang condong ke arah meremehkan syari‘at Islam sepertimana aliran liberalisme. Ada juga yang condong ke arah berlebih-lebihan seperti aliran fanatisme. Yang benar gerakan Islam harus berada di antara kedua-duannya kerana ini jalan yang lurus yang akan menghasilkan kejayaan sebenar.

Kesembilan: Beralih daripada sikap berkeras kepada sikap berhikmah. Sebahagian gerakan Islam, kerana sikap putus asa telah beralih daripada manhaj dakwah dengan hikmah kepada manhaj kekerasan dengan senjata. Mereka membunuh jiwa dan melakukan kerosakan harta benda yang akhirnya hanya akan menggagalkan secara keseluruhan usaha kebangkitan Islam. Seharusnya gerakan Islam memiliki sifat sabar dan bertahap-tahap. Tidak boleh menanam benih di pagi hari dan mengharapkan buahnya di petang hari.

Kesepuluh: Beralih daripada pertelingkahan kepada persatuan. Antara faktor utama yang menghalang kejayaan gerakan Islam mutakhir ialah pertelingkahan sesama gerakan atas hal-hal khilaf dan dzanni (hukum yang samar-samar). Padahal syari‘at Islam mewajibkan umatnya sesuatu yang disebaliknya, iaitu bersatu dan jangan berpecah. Selagi gerakan Islam berpecah dan bertelingkah, selagi itulah kejayaan menjauhi tangan umat Islam.

Demikian sepuluh poin utama yang digariskan oleh Syaikh al-Qaradhawi kepada gerakan Islam mutakhir tanpa khusus kepada mana-mana aliran tertentu. Di dalam memberi poin-poin di atas, Syaikh al-Qaradhawi telah menegur secara positif beberapa aliran Islam mutakhir yang masyhur seperti Jamaah Hizbut Tahrir, Jamaah Tabligh, Jamaah Jihadi, Jamaah Wahabiyyah, Jamaah al-Albaniyyun, Jamaah al-Jamiyyun (pengikut Syaikh Rabi’ al-Madkhali), Jamaah Syururiyyun, Jamaah Ikhwan al-Muslimun, Jamaah Sufisme dan tareqat-tereqat mereka dan pelbagai lagi.

Buku ini sangat dianjurkan kerana gerakan kebangkitan Islam di Malaysia juga tidak lepas daripada pelbagai kelemahan dan kekurangan sepertimana yang digariskan oleh Syaikh al-Qaradhawi. Gerakan kebangkitan Islam di Malaysia masih berada di tahap remaja dan sangat-sangat memerlukan bimbingan untuk mencapai tahap dewasa secepat agar segala misi perjuangan mereka dapat membuahkan hasil sebaik mungkin