AL-FAHMU

Dari Abu Sa’id Al-Khudri r.a dari Nabi S.A.W baginda bersabda:

Semoga Allah mengangkat darjat orang yang mendengar ucapanku lalu dia memahaminya. Beberapa banyak pembawa fiqh yang tidak fakih (tidak memahami fiqh). Tiga perkara yang kerananya hati seseorang mukmin tidak akan ditimpa dengki:
1.Mengikhlaskan amal kerana Allah
2.Memberi nasihat kepada para pemimpin kaum muslimin
3.Dan berpegang kepada jemaah mereka, kerana doa mereka mengelilingi mereka dari belakang mereka. (diriwayatkan oleh Al-Bazzar dengan sanadnya yang hasan)

Kefahaman atau kefakihan merupakan nikmat terbesar yang di anugerahkan oleh Allah s.w.t kepada hambanya. Tidaklah seseorang hamba itu dikatakan fakih melainkan ia benar-benar memahami ayat-ayat Allah dan kata-kata daripada rasulNya.

Rasulullah s.a.w bersabda:
Allah memperelokkan wajah orang yang mendengar satu hadith daripada kami, lalu beliau menghafalnya sehingga menyampaikannya kepada orang lain. Kemungkinan seseorang itu membawa kefahaman kepada orang yang lebih faham daripadanya dan kemungkinan orang yang membawa kefahaman bukanlah terdiri daripada orang yang faqih (fahim)…(hadith riwayat Abu Daud 3/321 dan at-Tirmizi:5/33 no 2659)

Seseorang itu mungkin boleh bergelar ‘ahli agama’ berdasarkan sijil-sijil yang diperolehinya ataupun boleh dipanggil sebagai ‘ustaz’ berdasarkan pengiktirafan masyarakat terhadapnya, tetapi mana mungkin seseorang itu boleh dianggap fakih disisi tuhannya sedangkan ilmu yang diperolehinya hanya sekadar hafalan yang tidak dihadam menjadi kefahaman.

Kelebihan seseorang hamba di sisi Rabbnya bukannya pada banyaknya penge’TAHU’an, hafalan dan ‘amalannya, tetapi kelebihan dan kemuliaan adalah disebabkan oleh kefahaman yang mendalam dan benar terhadap Al-Quran dan juga As-Sunnah.

Rasulullah s.a.w bersabda:
Barangsiapa yang dikehendaki baik oleh Allah, nescaya akan dijadikannya fakih(faham) dalam agama. Sesungguhnya aku hanyalah penyampai sedangkan Allah ‘Azzawajalla yang memberi. (Muslim no:1037)

‘Seseorang faqih itu lebih ditakuti oleh syaitan berbanding seribu orang ‘abid’ (hadith riwayat At-Tirmizi:5/46 no:2681)

Seseorang itu mestilah mengutamakan kefahaman daripada penghafalan dan juga mendahulukan ilmu sebelum beramal kerana pintu kepada kefahaman itu adalah ilmu yang benar. Manakala buah kepada kefahaman dengan ilmu yang benar itu tadi adalah amalan yang diterima oleh Allah s.w.t..

Jikalau amalan yang diterima itu merupakan hasil daripada kefahaman terhadap ilmu yang benar, maka bagaimanakah pula dengan ikhlas dan juga ittiba’ (mengikuti petunjuk rasul)? Bukankah itu merupakan syarat diterimanya amalan?
Kita katakan: Bagaimana mungkin seseorang itu boleh dikatakan ikhlas sedangkan dia sendiri tidak memahami hakikat ikhlas dan juga musuhnya iaitu riya’..bagaimanakah pula seseorang itu boleh dikatakan mengikuti petunjuk rasulnya sedangkan ibadahnya pula hanya berlandaskan hawa nafsunya (tidak dengan wahyu)..dia mungkin boleh berkata bahawa Allah dan rasulNya merupakan ikutan tetapi dalam beribadah dia mungkin beramal dengan ibadah yang tidak jelas sumbernya atau diragui keasliaannya disebabkan jahil dengan sunnah Baginda s.a.w..
Justeru, bukankah kefahaman juga diperlukan untuk mengetahui hakikat ikhlas dan merawat kejahilan manusia terhadap As-Sunnah?
Oleh itu, Allah s.w.t telah memilih orang yang ikhlas dengan menjadikannya fakih dalam agamanya.

Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan pada dirinya,nescaya Allah akan menjadikannya fakih(faham) dalam agama.(H.R Bukhari, kitab Al-Ilm, no:71)

Kefahaman itu dapat menyempurnakan keikhlasan dan juga amalan seseorang.

Berbeza pula dengan golongan yang ditutup pintu hati mereka oleh Allah s.w.t dalam memahami agamaNya. Mereka ini kuat beribadah kepada Allah s.w.t namun lemah dari sudut kefahaman. Sejarah juga telah menunjukkan kewujudan golongan ini yang telah banyak menumpahkan darah umat Islam iaitu golongan khawarij. Mereka inilah yang dijelaskan oleh nabi sebagai ‘’sejahat-jahat akhlak dan makhluk’’(H.R muslim 2/751 no:1067). Mereka kuat membaca Al-Quran, tetapi bacaan mereka itu tidak melepasi kerongkong mereka (diriwayatkan oleh Ad-Darimi dengan sanad yang sahih).

Dalam riwayat yang lain;
“Sesungguhnya dia mempunyai pengikut-pengikut yang salah seorang daripada kamu akan memandang hina solatnya kalau dibandingkan dengan solat mereka dan memandang hina puasanya kalau dibandingkan dengan puasa mereka, mereka membaca Al-Quran tetapi tidak melepasi kerongkong mereka.”(Fathul Bari: 6/714 no 3610)

Sesungguhnya mereka ini mempunyai sikap ta’asub terhadap kelompok mereka sedangkan sikap ini tidak layak dimiliki oleh orang yang ikhlas dalam beramal. Mereka juga mencabut ketaatan mereka terhadap pemimpin kaum muslimin. Di dalam hati mereka ada penyakit iaitu nifak…

Tidak faqih juga merupakan tanda-tanda orang munafik. Allah s.w.t telah berfirman:
Dan apabila diturunkan satu surah, sebahagian mereka memandang kepada sebahagian yang lain (sambil berkata): “Adakah, seseorang dari (orang-orang muslim) yang melihat kamu?” sesudah itu mereka pun pergi. Allah telah memalingkan hati mereka disebabkan mereka adalah kaum yang tidak faqih(faham).” (At-Taubah 9:127)

Ibnu Katsir berkata, “Firman Allah s.w.t ini juga memberikan penjelasan tentang karakteristik orang-orang munafik bahawa mereka jika diturunkan satu surat kepada Rasulullah s.a.w, sebahagian mereka memandang pada sebahagian yang lain atau menoleh. Maksudnya berpaling daripada kebenaran.”(Tafsir Ibnu Katsir Jilid 2 hal 347).

Mukmin yang fakih dalam agamanya adalah mereka yang bersih hatinya daripada sifat nifak dan hasad dengki. Kerana itulah mereka ini sentiasa mengikhlaskan amal kerana Allah, sentiasa memberi nasihat kepada para pemimpin kaum muslimin dan selalu berpegang teguh kepada jemaah kaum muslimin.

Daripada Abu Hurairah r.a, beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesiapa yang keluar daripada ketaatan (terhadap pemerintah) dan memisahkan diri daripada al-Jama’ah jika dia mati, dia mati dalam keadaan jahiliyah. (Muslim 3/1477)
Daripada ‘Abdullah bin Umar r.a, daripada Nabi S.A.W, sabda baginda: “Dengar dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintah melakukan maksiat, maka tidak perlu lagi dengar dan taat.”(riwayat Al-Bukhari jilid6/ no 2612)

Sesungguhnya Allah meredhai kamu dalam tiga perkara dan memurkai kamu dalam tiga perkara. Dia meredhai kamu beribadah kepadaNya dan tidak menyekutukan-Nya sedikit pun, berpegang teguh pada tali Allah dan menasihati orang yang Allah jadikan sebagai pemerintah urusan kamu. Dia memurkai kamu jika banyak bercakap (perkara yang tidak berfaedah), membazirkan harta dan banyak bertanya(pertanyaan yang tidak memberi faedah). (riwayat Imam Malik 2/169)

Sesiapa yang ingin menasihati orang yang berkuasa, janganlah melakukannya secara terang-terangan. Sebaliknya dia hendaklah memegang tangannya(penguasa itu) dan bersendirian dengannya(menasihati tanpa mendedahkan aibnya secara terbuka). Jika diterima, maka dia Berjaya. Jika tidak, dia(penasihat itu) dianggap telah menunaikan kewajipannya (riwayat Ibn Abi ‘Asim dalam As-Sunnah dengan sanad yang hasan).

Kefahaman yang sahih merupakan cahaya yang dicampakkan oleh Allah s.w.t ke dalam hati hambaNya, menyebabkan dia boleh membezakan di antara yang sahih dan yang fasid, hak dan batil, petunjuk dan kesesatan. Oleh itu, marilah kita berusaha untuk mendapatkan kefahaman yang benar dan mendalam. Kata Muhammad Abdullah Al-Khatib, “Bersungguh-sungguhlah wahai saudaraku dalam mendapatkan kefahaman yang sejahtera dan teliti. Iaitu kefahaman yang menembusi perkara-perkara yang dalam, meletakkan setiap perkara pada tempatnya tanpa cuai dan melampau. Kefahaman yang suci murni dan syumul (Nazarat Fi Risalah Ta’lim).