NEGARA PALESTIN DI PBB: MENANG SORAK, KAMPUNG TERGADAI?


Jumaat lepas, Presiden Mahmoud Abbas secara rasminya telah mengemukakan permohonan supaya Palestin diterima sebagai ‘Negara Ahli’ kepada Majlis Keselamatan PBB. Sehingga kini status perwakilan Palestin hanyalah `anggota pemerhati’ (observer entity), bukan ahli dan bukan negara. Ketegasan beliau meneruskan permohonan tersebut walau ditentang secara jelas oleh Israel and Amerika merupakan langkah yang berani. 

Sebaik mengemukakan permohonan tersebut, beliau masuk memberi ucapan di Perhimpunan Agung PBB yang disambut dengan tepukan gemuruh dan ‘standing ovation’. Ucapan beliau kepada 193 negara-negara ahli PBB ditayang secara langsung dengan skrin besar di Tebing Barat. Jalan dipenuhi dengan rakyat Palestin yang menyokong dan kereta-kereta mengibarkan bendera Palestin. “Saya mendengar orang ramai memanggil-manggil nama ‘Abu Mazen’ (gelaran Mahmoud Abbas), suatu yang tidak pernah saya dengar selama ini” kata pemberita Al Jazeera Cal Perry. Kepulangan beliau di Ramallah disambut ribuan rakyat Palestin sebagai hero. Dengan bangga beliau mengisytiharkan `Kabangkitan Palestin’ (Palestinian Spring) telah bermula. 

Telah sekian tahun imej Mahmoud Abbas, Fatah, PLO dan Palestine Authority (PA) merudum kerana tiada kemajuan dalam rundingan damai sedangkan pada masa yang sama cengkaman Israel semakin kuat dan penjajahan dan pendatang Yahudi terus bertambah. Mandat kerajaan PA telah 3 tahun tamat. Tiada pilihanraya diadakan untuk memperbaharui mandat itu, takut-takut HAMAS menguasai keseluruhan Palestin pula. Peristiwa ini memberi lonjakan dan harapan baru kepada kelangsungan beliau dan Fatah.