Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
Syariat berqurban merupakan warisan ibadah yang paling tua.
Ianya mula diperintahkan ketika Nabi Adam `alaihis salam tidak menemui cara yang paling adil dalam mengahwinkan anak-anaknya yang kembar.
Meskipun sudah diputuskan perkahwinan secara silang namun akhirnya Allah swt mewahyukan agar kedua anak Nabi Adam, Habil dan Qabil melaksanakan qurban untuk membuktikan amal siapakah yang diterima.
Habil berqurban dengan ternakannya iaitu unta dan Qabil berqurban dengan tanamannya iaitu gandum.
Sampai di sini, Allah swt sebenarnya ingin menguji hamba-hambaNya, siapa yang dengan sukarela menerima perintahnya dan siapa yang menentangnya.
Habil dengan ikhlas mempersembahkan korbannya dan oleh kerananya qurbannya diterima sedangkan Qabil, oleh kerana tidak tulus dan ikhlas dalam menjalankan perintah berqurban, maka tidak diterima darinya sehingga dengan nekad ia membunuh saudaranya. Inilah peristiwa pembunuhan pertama dalam sejarah umat manusia.