1. Kita tidak boleh cuai dengan fakta ‘mengubati satu kesilapan dengan kesilapan yang lain hanya membuatkan kesalahan yang pertama menjadi lebih sukar dan bertambah teruk’. Apabila kita ingin memperbaiki kesilapan atau ingin membetulkan tabiat buruk seseorang, kita seharusnya mempamerkan akhlak yang baik (bukannya bersikap kasar). Kita juga hendaklah berlembut dan berhati-hati semampu yang boleh, dan menegakkan hujah dan mempunyai rasa bertimbang-rasa sekaligus. Sikap berlebih-lebihan dan kekasaran tidaklah membawa kita kemana-mana.
2. Sekiranya kita ingin berkerja untuk memperbaiki orang lain, kita hendaklah bersikap sabar dan meletakkan diri kita dihadapan sebagai contoh yang baik dari sudut akhlak. Jikalau kita tidak menunjukkan kepada orang lain tentang bagaimana untuk berakhlak baik dan mulia, bagaimana munkin kita boleh menginginkan supaya mereka melakukan perkara yang sama?
3. Kisah Rasulullah s.a.w berikutnya dan tindakan baginda apabila berhadapan dengan sikap dan perangai buruk seorang arab badwi menjelaskan lagi apa yang telah kita perkatakan.
Kita seharusnya memerhatikan bagaimana Rasulullah s.a.w berhadapan dengan lelaki yang biadap ini dengan sikap baginda yang pemaaf, perilaku yang baik dan sempurna. Dengan melakukan tindakan tersebut, baginda s.a.w telah melindungi lelaki tersebut daripada jatuh kelembah kekufuran
Seorang Arab Badwi telah datang kepada Rasulullah s.a.w sambil merayu meminta pertolongan berkenaan suatu urusan (berkemunkinan pembayaran wang diyat) dan Rasulullah s.a.w memberikannya sesuatu. Kemudian baginda bertanya: “Adakah aku telah berbuat baik kepadamu?”
Lelaki itu menjawab: “Tidak! Kamu tidak berlaku baik terhadapku!!”
Apabila mendengar jawapan lelaki tersebut, sebahagian para sahabat yang hadir berasa marah dan mahu melepaskan geram mereka terhadap lelaki tersebut. Walaubagaimanapun, Rasulullah s.a.w memberikan isyarat kepada para sahabat supaya tidak mengapa-apakan lelaki tersebut. Baginda kemudiannya berdiri dan menuju kerumah baginda. Apabila tiba di pintu, baginda mengajak Arab Badwi tersebut untuk masuk kerumah baginda.
Kemudian Rasulullah s.a.w berkata: “Kamu telah datang kepada kami dan meminta bantuan daripada kami, dan kami telahpun memberinya kepada kamu. Kemudian kamu telah berkata apa yang kamu ingin perkatakan.”
Rasulullah s.a.w memberikan wang kepada lelaki tersebut sekali lagi. Baginda kemudiannya bertanya: “Adakah aku telah berbuat baik kepadamu?”
Arab badwi itu menjawab: “Ya. Semoga Allah membalas jasamu dengan keluargamu dan saudara-saudara-mu.”
Kemudian Rasulullah s.a.w berkata: “Kamu telah datang kepada kami dan meminta bantuan daripada kami, dan kami telahpun memberinya kepadamu. Kemudian kamu telah berkata apa yang kamu ingin perkatakan. Disebabkan ini, sahabat-sahabatku sekarang telah mempunyai perasaan yang buruk terhadapmu. Apabila kamu datang semula, katakanlah dihadapan mereka apa yang telah kamu perkatakan sebentar tadi kepadaku supaya perasaan buruk mereka terhadapmu akan hilang dari hati mereka.”
Arab badwi itu bersetuju. Apabila dia mendekati mereka, rasulullah s.a.w berkata: “Sahabat kamu ini telah datang kepada kita dan meminta bantuan daripada kita, dan kita telahpun memberi kepadanya. Kemudian dia telah berkata apa yang ingin dia perkatakan. Kemudiannya kita telah mengajaknya dan memberikan sekali lagi kepadanya dan dia telah mengakui bahawa dia sudah berpuas hati. Adakah ini benar, wahai badwi?”
Badwi itu berkata: “Ya. Semoga Allah membalas jasamu dengan keluargamu dan saudara-saudara mu.”
Rasulullah s.a.w kemudiannya berkata kepada para sahabat baginda : “Apa yang telah terjadi diantara aku dan arab badwi ini adalah sama dengan apa yang terjadi kepada seorang lelaki yang untanya lari daripadanya. Sebahagian manusia cuba mengejar unta tersebut tetapi ini menyebabkannya lari dengan lebih jauh lagi. Kemudian pemilik unta tersebut berkata: “Biarkan aku dengan untaku. Aku akan menunjukkan belas kepadanya dan itu adalah lebih baik”. Kemudian dia menuju kearah unta tersebut dan mendapatinya di tanah yang berdebu. Dia memanggil unta tersebut dan unta tersebut mendatanginya. Kemudian lelaki tersebut memasang pelana dibelakang unta tersebut.
“Sekiranya aku membiarkan kamu meneruskan apa yang kamu mahu kepada lelaki tersebut ketika dia berkata dengan perkataannya yang kesat itu, sudah pasti dia akan dimasukkan kedalam neraka.”
(Diriwayatkan oleh Al-Bazzar (2476) dan Muhammad b. Nasr didalam Ta`zîm Qadr al-Salâh (992). Pada sanadnya ada sedikit kelemahan didalamnya.)
4. Kita sepatutnya berfikir tentang bagaimana Rasulullah s.a.w menghadapi situasi dengan arab badwi tersebut. Baginda tidak berasa kecewa semasa dan setelah melakukan kebaikan terhadap arab badwi itu dan turut memenuhi permintaaanya walaupun lelaki itu bukan sahaja tidak membalasnya dengan kegembiraan dan berterima kasih, malah menggunakan kata-kata yang kesat kepada baginda.
5. Rasulullah s.a.w adalah seorang yang penyayang dan pemaaf. Hati baginda penuh dengan kebaikan. Ini menjelaskan bagaimana kekasaran lelaki itu hanya menambahkan lagi sifat pengasih baginda terhadapnya. Dan ini juga membantu untuk melindungi keimanan arab badwi tersebut.
6. Sesungguhnya kata-kata lelaki tersebut : ““Tidak! Kamu tidak berlaku baik terhadapku” adalah penafian terbuka terhadap kebaikan Rasulullah dan satu pernyataan yang bercanggah dengan sifat seorang yang merupakan Rasul Allah. Secara sepintas lalu, tindakan lelaki tersebut adalah hampir kepada kekufuran. Berkemunkinan apabila Rasulullah s.a.w menolak untuk memberikan lelaki tersebut sesuatu; membiarkannya bersendirian dan membenarkan Para Sahabat bertindak terhadapnya – lelaki itu munkin akan keluar daripada Islam dan murtad daripada agamanya. Ini akan meletakkan lelaki tersebut diatas jalan ke neraka.
7. Apabila kita berjumpa dengan manusia pada hari ini yang bermasalah dan juga bertindak dengan kasar dan bengis (apabila kita ingin membantunya), kita hendaklah mengingati pengajaran daripada kisah hidup Rasulullah s.a.w ini dan cuba mengaplikasikannya dalam tindak-tanduk perbuatan kita.
8. Adalah tidak mencukupi bagi kita untuk hanya mempunyai hujah dan bukti supaya kita boleh membenarkan pandangan kita. Kita juga mestilah menyampaikan seruan kita dengan sikap yang lembut. Kita hendaklah mempunyai sifat kasih-sayang yang sebenar dalam berinteraksi dengan orang yang kita hadapi.
9. Kelembutan, akhlak yang baik, dan senyuman ditambah pula dengan kata-kata yang baik.; adalah penghubung yang menyambungkan hati. Perkara tersebut adalah cara-cara yang boleh menghilangkan kemarahan dan kekasaran pihak lain.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila kebaikan memasuki sesuatu, maka ia mencantikkanya. Apabila kebaikan itu hilang, maka ia akan memburukkannya.” [Sahîh Muslim (2594)]
oleh : Sheikh Salman al-Oadah