ADA APA PADA NAMA?

Dari Abu Usamah r.a berkata,
“Seorang lelaki datang kepada rasulullah s.a.w dan berkata, “Bagaimana pendapatmu mengenai seorang lelaki yang berperang untuk mendapatkan pahala dan nama, apa yang dia dapat?

Nabi menjawab, “Dia tidak mendapat apa-apa.” Lelaki itu mengulang soalan tersebut tiga kali, dan Rasulullah selalu menjawab, “Dia tidak mendapat apa-apa.” Lalu Rasulullah bersabda, “Sesunggguhnya Allah tidak menerima amal kecuali apa yang ikhlas (keranannya) dan dimaksudkan semata-mata demi wajahNya.” (Diriwayatkan oleh Abu Daud dan An-Nasa’I dengan sanad yang jayyid) Ikhlas adalah melupakan pandangan manusia sehingga kita hanya melihat Sang Pencipta sahaja. Orang yang menangis kerana takutkan Allah, memberikan infak, atau mengerjakan solat di tengah ribuan bahkan jutaan manusia akan tetap ikhlas, kerana ia tidakmemerlukan pandangan manusia. Ia hanya memerlukan pandangan Allah ‘Azzawajalla sahaja. Cukuplah untuk kita firman Allah:

“Dan cukuplah Allah sebagai saksi..”(Al-Fath:28)

Terdapat juga manusia yg beramal supaya namanya disebut-sebut. Sedangkan nama itu adalah perkara yg akan luput diingatan seperti luputnya bangkai dimamah usia dunia.

Fudhail bin ‘Iyadh berkata:
“Jika kamu boleh membuatkan kamu tidak dikenali maka lakukanlah. Apa salahnya jika kamu tidak dikenali? Apa salahnya jika kamu tidak dipuji? Apa salahnya jika kamu dikeji oleh manusia tetapi dipuji disisi Allah s.w.t?”

Apa salahnya jika kita tidak dikenali oleh manusia kerana kebolehan kita? Sedangkan ramai manusia yg terkenal dengan kehebatan mereka, tetapi mempunyai ramai pula musuhnya. Ramai juga manusia terkenal dengan kekayaannya, tetapi selalu gundah-gulana dengan hartanya. Justeru, tidakkah hidupmu lebih bahagia jika kamu tidak dikenali?

“Allah mengasihi orang-orang yg baik dan bertaqwa yang tidak dikenali. Apabila mereka hilang, orang tidak mencarinya dan apabila mereka ada, mereka tidak dipanggil dan dikenali. Hati-hati mereka adalah lampu petunjuk, mereka keluar dari setiap tanah berdebu yang gelap.”(riwayat Ibnu Majah 2/1320 no:3989).

Rahmat Allah sentiasa bersama dengan orang yg tidak mengharapakn nama dalam beramal. Lihatlah Uwais al-Qarni. Ia tidak dikenali oleh manusia disekelilingnya. Malah ia juga turut diejek dan dihina kerana penampilannya yang buruk. Namun, dia dikenali oleh Allah dan rasulNya. Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya sebaik-baik generasi tabi’in adalah orang yg bernama Uwais..mintaklah dia supaya memohon keampunan (daripada Allah) untukmu” (H.R Imam Muslim, no:2542).

Sehinggakan Umar al-Khattab turut meminta Uwais supaya mendoakan keampunan untuknya (h.r Muslim). Itulah Uwais Al-Qarni, wali Allah yang sangat dikenali oleh makhluk Allah dilangit..

Ibnu mas’ud berkata:
“Jadilah kamu sumber ilmu, lampu petunjuk….kamu dikenali dikalangan ahli langit dan tidak dikenali oleh ahli bumi. “

Alangkah bahagianya apabila nama kita disebut-sebut oleh ahli langit..ketika Allah ‘Azzawajalla mencintai kita kerana amalan kita yg ikhlas lalu dipanggilNya malaikat Jibril dan kemudian diseru kepadanya, “Aku mencintai si fulan, maka cintailah dia”. Jibril kemudiannya mencintainya dan berseru di langit, “Sesungguhnya Allah mencintai si fulan, maka cintailah dia.” Maka penghuni langit mencintainya dan ditetap penerimaan baginya di bumi. (diriwayatkan oleh Imam Malik, 3/128, Bukhari 6/303)

Bagaimana pula nasib manusia yang ingin amalanya dilihat manusia. Sila renungi hadith ini
Nabi S.A.W bersabda:
“Sesungguhnya orang pertama yang akan diadili di Hari Kiamat kelak adalah seorang yang mati syahid. Kesyahidan itu didatangkan dan kemudian diperkenalkan dengan nikmat-nikmatnya, dan ia pun mengenalinya”.
Allah bertanya,”Apa yang telah engkau lakukan dengan nikmat tersebut?”
Si Syahid menjawab,”Aku telah berperang karenaMu sehingga aku mati syahid.”
Allah menjawab,”Kamu bohong, akan tetapi kamu berperang agar disebut pahlawan, dan kamu telah mendapatkan keinginanmu itu.”
Kemudian ia dihisab sesuai dengan perbuatan yang dilakukannya, sehingga akhirnya dimasukkan ke dalam neraka.
Kemudian seorang yang mempelajari ilmu, mengamalkannya, membaca Al Qur’an. Ilmu itu kemudian didatangkan kepadanya dengan nikmat nikmatnya, dan ia pun mengenalinya.
Allah bertanya,”Apa yang telah kamu lakukan?”
Si Alim menjawab,”Aku mempelajari Ilmu dan mengamalkannya, aku juga membacakan Al Qur’an untukMU.”
Allah berkata,”Kamu bohong, akan tetapi kamu mempelajari ilmu agar dipandang sebagai orang alim. Kamu membaca Al Qur’an agar disebut sebagai qari’ dan kamu telah mendapatkan yang kamu inginkan.”
Kemudian ia dihisab sesuai dengan amal perbuatan yang dilakukannya, sehingga akhirnya ia pun dimasukkan ke dalam neraka.
Kemudian seorang laki laki yang telah mendapatkan kelapangan dari Allah S.W.T, dengan dikurniakan harta yang banyak. Harta itu didatangkan kepadanya dan ia pun merasakan nikmatnya.
Allah bertanya,”Apa amal perbuatanmu di dunia?”
Orang kaya itu menjawab,”Saya tidak sedikit pun meninggalkan jalan yang Engkau cintai kecuali dengan menafkahkan hartaku disana semata-mata karena Engkau.”
Allah menjawab,”Engkau telah berdusta. Engkau melakukan itu agar disebut sebagai seorang dermawan, dan engkau telah mendapatkan yang engkau inginkan itu.”
Kemudian ia dihisab sesuai dengan amal perbuatannya, dan dimasukkan dalam neraka.” (Hadits diriwayatkan oleh Imam Muslim (13/50-51- Nawawi), Imam NAsa’i 6/23-24, Imam Ahmad bin Hambal 2/322, dan para perawi lainnya dari hadits Abu Hurairah R.A)

Dalam hadith yg lain menyebut bahawa mereka ini diseret wajahnya sehingga dicampakkan kedalam api neraka. Wahai saudaraku, adakah kamu masih ingin menjadikan kemasyuran itu sebagai tujuan hidupmu?

Islam tidak melarang kemasyuran tetapi yang dilarang adalah melakukan sesuatu perkara semata-mata kerana ingin menjadi terkenal atau disanjung oleh manusia. Kemasyuran pada zatnya bukanlah suatu yang tercela.

Walaupun ramai dikalangan tokoh-tokoh umat Islam tidak mahu diri mereka dikenali, tetapi mereka tetap terkenal didalam sejarah. Itulah kehendak Allah terhadap hamba-hambaNya supaya mereka menjadi contoh kepada yg lain.