NEGARA PALESTIN DI PBB: MENANG SORAK, KAMPUNG TERGADAI?


Jumaat lepas, Presiden Mahmoud Abbas secara rasminya telah mengemukakan permohonan supaya Palestin diterima sebagai ‘Negara Ahli’ kepada Majlis Keselamatan PBB. Sehingga kini status perwakilan Palestin hanyalah `anggota pemerhati’ (observer entity), bukan ahli dan bukan negara. Ketegasan beliau meneruskan permohonan tersebut walau ditentang secara jelas oleh Israel and Amerika merupakan langkah yang berani. 

Sebaik mengemukakan permohonan tersebut, beliau masuk memberi ucapan di Perhimpunan Agung PBB yang disambut dengan tepukan gemuruh dan ‘standing ovation’. Ucapan beliau kepada 193 negara-negara ahli PBB ditayang secara langsung dengan skrin besar di Tebing Barat. Jalan dipenuhi dengan rakyat Palestin yang menyokong dan kereta-kereta mengibarkan bendera Palestin. “Saya mendengar orang ramai memanggil-manggil nama ‘Abu Mazen’ (gelaran Mahmoud Abbas), suatu yang tidak pernah saya dengar selama ini” kata pemberita Al Jazeera Cal Perry. Kepulangan beliau di Ramallah disambut ribuan rakyat Palestin sebagai hero. Dengan bangga beliau mengisytiharkan `Kabangkitan Palestin’ (Palestinian Spring) telah bermula. 

Telah sekian tahun imej Mahmoud Abbas, Fatah, PLO dan Palestine Authority (PA) merudum kerana tiada kemajuan dalam rundingan damai sedangkan pada masa yang sama cengkaman Israel semakin kuat dan penjajahan dan pendatang Yahudi terus bertambah. Mandat kerajaan PA telah 3 tahun tamat. Tiada pilihanraya diadakan untuk memperbaharui mandat itu, takut-takut HAMAS menguasai keseluruhan Palestin pula. Peristiwa ini memberi lonjakan dan harapan baru kepada kelangsungan beliau dan Fatah.

UCAPAN MURSYID AM DI MUKTAMAR TULLAB IKHWAN MUSLIMIN


Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, yang indah lagi diberkati. Selawat dan salam ke atas penghulu kita, ikutan kita dan pemimpin kita Muhammad s.a.w., keluarga serta sahabat-sahabat baginda semuanya.

Anak-anakku muda mudi tercinta,

Ketahuilah bahawa kamu adalah harapan umat, lengan-lengannya yang gagah, mindanya yang cerah, masa depannya yang gemilang, harapannya yang bersinar dan kekuatannya yang terpendam. Kamu adalah unsur kebangkitan umat, kemajuan serta kegemelingannya yang paling penting. Itulah kedudukan kamu, itulah nilai kamu. Itulah tanggungjawab kamu dan amanah kamu di hadapan Allah, di hadapan umat dan di hadapan diri kamu sendiri. Sesungguhnya kamu adalah bekalan untuk masa depan, tempat bergantungnya harapan untuk kebangkitan umat kamu.

Dan kami, ketika kami berkata demikian bukan kerana hendak mengampu atau mengambil hati kamu. Sebaliknya kami menegaskan sesuatu yang memang menjadi reality dan mengiktiraf sesuatu yang benar. Itulah juga yang dipesan oleh kekasih kita yang terpilih, iaitu Nabi Muhammad s.a.w. (maksudnya): “Hendaklah kamu saling berpesan agar memelihara para pemuda dengan baik kerana sesungguhnya mereka itu memiliki hati yang paling lembut.”

Bertitik tolak dari sini, maka terdapat beberapa perkara yang wajib ke atas kamu terhadap semua aspek yang melingkungi kamu dan yang berkaitan dengan diri kamu.