Menjana Perubahan Di Tahun Baru

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Kita akan sekali lagi menyambut Tahun Baru Islam 1432 Hijrah.

Sungguh tidak terasa, waktu berjalan begitu cepat. Detik demi detik terus berputar. Hari berganti hari menggenapkan hitungan minggu, bulan dan tahun dan silih berganti seiring dengan pergantian siang dan malam.

Pergantian ini bukanlah tanpa makna. Pergantian ini adalah sebahagian dari kekuasaan Allah swt sebagaimana firmanNya :
"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang berakal." (QS Ali-Imran:191)

Pergantian ini juga memberi petunjuk kepada kita bahwa:
1. Dialah yang memiliki semua ini.
2. Dialah yang menjadikan bintang-bintang beredar di dalam orbit masing-masing.
3. Dialah yang menjadikan matahari sebagai pusat orbit bintang-bintang.
4. Dialah yang menghamparkan bumi dan menetapkan kehidupan dan kematian.

Allah swt berfirman:
"Demi matahari dan sinarnya di pagi hari. Demi bulan apabila ia mengiringi. Demi siang apabila ia menampakkan diri. Demi malam apabila ia menutupi. Demi langit serta binaannya. Demi bumi serta penghamparannya. Demi jiwa dengan segala penyempurnaan (ciptaan)Nya. Allah mengilhamkan kepada jiwa, keburukan dan kebaikan. Beruntunglah siapa yang membersihkannya, rugilah siapa yang mengotorinya." (QS As-Syams: 1-10)

Pergantian tahun bererti:
1. Bertambah pula usia kita.
2. Secara automatiknya kuota umur kita berkurang.
3. Semakin kita mendekati kematian.

Penyair Arab mengatakan :
"Kamu adalah rangkaian dari hari-hari. Jika satu hari telah berlalu, maka akan berkurang umur kamu."

Lalu, apakah yang sudah kita perbuat dari bertambahnya usia kita atau berkurangnya kuota umur kita?
Jawaban ini penting kerana samada kita suka atau tidak suka, setiap yang hidup pasti akan menunggu giliran kematian.
Kematian adalah bukan akhir dari kehidupan bahkan justeru awal dari sebuah kehidupan yang kekal abadi.

Akhirat adalah waktu di mana penyelesaian kepada setiap permasaalahan manusia dilaksanakan secara seadil-adilnya. Jika waktu di dunia, setiap permasaalahan manusia ada yang boleh di manipulasi namun di akhirat nanti, semuanya akan dibuka dan putuskan secara adil.

Awal tahun hijrah merupakan saat yang sangat penting dalam sejarah Islam.

Kejayaan dakwah Rasulullah saw dimulai dengan hijrahnya beliau bersama para sahabat ke Yathrib yang kemudiannya dinamakan Madinah.

Rasulullah saw telah menamakan bulan Muharram sebagai bulan Allah kerana kemuliaan dan kelebihan bulan ini di mana sesungguhnya Allah swt tidak akan merujuk kepadaNya melainkan ada sebab-sebab yang membawa kepada kemuliaan dan kelebihannya.

Menurut Hasan Al-Basri, sesungguhnya Allah telah membuka lembaran tahun baru di dalam takwim Islam dengan bulan Muharram dan ianya dinamakan bulan Allah kerana besar kehormatan dan kemuliaannya setelah bulan Ramadhan.

Muharram, bulan yang tiba-tiba mengetuk batin kita untuk segera mengenang peristiwa besar dalam sejarah, iaitu peristiwa hijrahnya Rasulullah saw dari kota Makkah menuju kota Madinah.

Setiap awal tahun hijriyah seperti ini sudah semestinya kita sebagai umat Islam segera membangun semangat baru untuk:
1. Meningkatkan ketaqwaan dalam diri kita.
2. Meningkatkan ketaatan kepada Allah swt.

Pada masa yang sama, kita segera mengucapkan pada hari-hari yang telah berlalu dari tahun hijrah sebelumnya:
"Selamat jalan, selamat menjadi teguran sejarah atas segala kekurangan dan kami berjanji tidak akan mengulangi kesalahan yang telah menyebabkan malapetaka dan kesengsaraan terhadap hidup kami di dunia mahupun di akhirat."

Apa yang menarik pada setiap diri kita ketika memasuki tahun baru adalah munculnya kesedaran baru dalam diri kita iaitu kesedaran akan beberapa perkara:
1. Kesedaran bahwa diakui atau tidak, kuota umur kita telah berkurang.
2. Pelaburan pahala kita untuk simpanan di akhirat masih sangat sedikit dibandingkan dengan nikmat-nikmat Allah yang setiap detik sentiasa mengalir tiada putus kepada kita.
3. Kita seharusnya merasa malu di mana kita yang mengaku sebagai hamba Allah tetapi dalam banyak perkara, orientasi kita ialah menggunakan segala nikmat-nikmat Allah namun lupa bersyukur kepadaNya.
4. Kita sering menjadikan diri kita sebagai hamba dunia dan bukan hamba Allah dalam ertikata yang sebenarnya.
5. Kita masih sahaja lebih sibuk membuat pelaburan untuk kepentingan dunia daripada pelaburan untuk akhirat.

Dengan datangnya tahun baru ini, semoga semangat untuk membangun kemegahan akhirat lebih kuat dari semangat untuk membangun kemegahan dunia.

Tahun hijriyah berjalan seirama dengan perjalanan sirah Rasulullah saw. Sungguh banyak peristiwa besar dalam sejarah Islam yang dirakamkan dalam bulan-bulan hijrah seperti:
1. Awal turunnya Al-Qur'an.
2. Titik permulaan hijrah.
3. Tanggal kemenangan dalam perang Badar.
4. Sambutan hari-hari besar Islam seperti Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha.

Dalam erti kata lain, kita akan menjadi peribadi yang pandai membangun masa depan dengan berpijak kepada contoh tauladan masa lampau yang kukuh dan benar.

Dengan langkah tersebut, kita tidak akan mengulangi kesalahan dan kecelakaan masa lalu sebagaimana yang tersebut dalam sebuah hadith :

"Seorang mu'min tidak akan pernah terjerumus dalam jurang yang sama dua kali". (HR Muslim)

HAKIKAT HIJRAH
Hijrah bererti berpindah atau meninggalkan. Dalam makna ini, hijrah memiliki dua bentuk:

1. HIJRAH MAKANIYAH (HIJRAH TEMPAT)
Hijrah tempat adalah berpindah secara fizikal dari satu tempat ke tempat yang lain. Kebanyakan ayat-ayat tentang hijrah bermakna "Makaniyah".

"Dan siapa yang berhijrah di jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), niscaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur. Dan siapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang." (QS An-Nisa’ :100)"Dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah, kemudian mereka terbunuh atau mati, sudah tentu Allah akan mengurniakan kepada mereka limpah kurnia yang baik. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi limpah kurnia." (QS Al-Hajj : 58)

2. HIJRAH MA’NAWIYAH (HIJRAH HAKIKI)
Bentuk-bentuk hijrah hakiki di antaranya:
a. Meninggalkan kekufuran menuju keimanan.
b. Meninggalkan syirik menuju tauhid (hanya mengesakan Allah).
c. Meninggalkan kebiasaan mengingkari nikmat-nikmat Allah menjadi pandai bersyukur.
d. Berpindah dari kehidupan jahiliyah ke arah kehidupan Islam sebenar.
e. Berpindah dari sifat-sifat munafik dan tidak tetap pendirian menjadi istiqamah.
f. Mempunyai komitmen yang kuat pada nilai kebenaran dan meninggalkan kebatilan.
g. Meninggalkan perbuatan, makanan dan pakaian yang haram kepada kehidupan yang berpaksikan yang halal lagi baik.
h. Meninggalkan maksiat menuju taat hanya kepada Allah swt.
i. Meninggalkan kedengkian, kebohongan, rasuah, saling menjatuhkan sesama orang beriman, menyia-nyiakan waktu serta kebiasaan hidup yang menjadi beban kepada manusia lain dan juga masyarakat.

Hijrah secara "ma'nawiyah" ini ditegaskan oleh Allah swt dalam firmanNya:
"Dan berkatalah Ibrahim: "Sesungguhnya aku sentiasa berhijrah kepada Tuhanku; sesungguhnya Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (QS Al-Ankabut : 26)

"Dan perbuatan dosa tinggalkanlah." (QS Al-Muddatsir : 5)

Kata kunci dari hijrah adalah "Perubahan" iaitu perubahan menuju kepada yang lebih baik dalam segala perkara.

Perubahan itu dilakukan semata-mata:
1. Kerana kebaikan.
2. Kerana manfaat.
3. Kerana mencari redha Allah swt.

Rasulullah saw bersabda:
"Barangsiapa yang berhijrah untuk Allah dan RasulNya maka hijrahnya untuk Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang berhijrah untuk dunia (untuk memperolehi keuntungan duniawi) dan untuk menikahi wanita maka hijrah itu untuk apa yang diniatkannya." (HR Bukhari)

Oleh kerana itu, dalam menyusuri jalan hijrah ini, kita perlu:
a. Menetapkan arah atau tujuan hidup dengan jelas.
b. Ambil bekalan yang cukup.
c. Waspada terhadap godaan di perjalanan.
d. Jangan tertinggal dari rombongan kebaikan kerana hidup ini umpama bermusafir.

KEUTAMAAN BULAN MUHARRAM
Bulan Muharram merupakan salah satu dari empat bulan yang dimuliakan oleh Allah swt sejak diciptakannya langit dan bumi iaitu Zulqa'idah, Zulhijjah, Muharram dan Rajab maka oleh sebab itu dilarang untuk berperang di dalamnya.

Allah swt berfirman:
"Sesungguhnya jumlah bulan di dalam kitab Allah (Al Qur'an) itu ada dua belas bulan sejak Allah menciptakan langit dan bumi, empat di antaranya adalah bulan-bulan haram" (QS At Taubah: 36)

Pada bulan muharram ini kita disunnahkan untuk berpuasa dan itu merupakan puasa yang paling utama setelah puasa Ramadhan.

Rasululllah saw bersabda:
"Sebaik-baik puasa setelah puasa Ramadhan adalah puasa di bulan Muharram dan sebaik-baik solat setelah solat fardhu adalah solat malam" (HR Muslim)

Dalam hadits lain beliau menjelaskan bahwa puasa pada hari 'Asyura (10 Muharram) boleh menghapuskan dosa-dosa setahun yang telah lalu.
Dari Abu Qatadah ra, Rasululllah saw pernah ditanya tentang puasa hari 'Asyura, beliau bersabda:
"Saya berharap ia boleh menghapuskan dosa-dosa satu tahun  sebelumnya". (HR Muslim)

Hanya sahaja puasa di bulan Muharram ini mempunyai beberapa tingkatan:

TINGKATAN PERTAMA: PUASA PADA TANGGAL 10 MUHARRAM SAHAJA.
Ini sebagaimana yang disebut di dalam hadist berikut:
"Tatkala Nabi saw datang ke Madinah beliau melihat orang-orang Yahudi melakukan puasa di hari `Asyura. Beliau saw bertanya, "Hari apa ini?".
Orang-orang Yahudi menjawab, "Ini adalah hari baik, pada hari ini Allah selamatkan Bani Israil dari musuhnya, maka Musa as berpuasa pada hari ini.
Nabi saw bersabda, "Saya lebih berhak mengikuti Musa dari kamu (kaum Yahudi). Maka beliau berpuasa pada hari itu dan memerintahkan umatnya untuk melakukannya". (HR Bukhari)

Begitu juga diriwayatkan dari Aisyah ra, ia mengisahkan,
"Dahulu Rasulullah saw memerintahkan untuk puasa di hari `Asyura. Dan ketika puasa Ramadhan diwajibkan, barangsiapa yang ingin (berpuasa di hari `Asyura) ia boleh berpuasa dan barangsiapa yang ingin (tidak berpuasa) ia boleh berbuka". (HR Bukhari)

TINGKATAN KEDUA: PUASA PADA HARI ITU DAN SATU HARI SEBELUMNYA IAITU TANGGAL 9 DAN 10 MUHARRAM.
Ini berdasarkan ketika Rasulullah saw memerintahkan untuk puasa pada hari 'Asyura, para sahabat berkata: "Itu adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani, beliau bersabda: jika datang tahun depan InsyaAllah kita akan berpuasa hari kesembilan, akan tetapi beliau meninggal pada tahun tersebut". (HR Muslim)

Ada satu riwayat lain dari Ibnu Abbas juga, beliau saw bersabda "Puasalah kamu pada tanggal sembilan dan sepuluh, bezakanlah dari orang-orang Yahudi ".

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata:
"Disunnahkan bagi yang puasa pada hari `Asyura untuk berpuasa juga pada tanggal sembilannya, kerana hal tersebut adalah perintah Rasulullah saw yang paling akhir".

Kita sangat dianjurkan untuk berpuasa pada hari-hari tersebut kerana ia mempunyai fadhilat yang sangat besar kerana setiap kita sangat memerlukan ampunan dariNya disebabkan betapa banyak dosa yang kita lakukan setiap hari bahkan setiap saat.

Kita juga memohon semoga Allah swt menerima semua amal ibadah kita dan menjadikannya sebagai pemberat timbangan kebaikan kita di akhirat nanti.

Akhirnya, berbekalkan kesedaran yang benar, di ambang kedatangan tahun baru hijriyah ini, kita umat Islam mestilah membangun satu tekad baru untuk meningkatkan ketakwaan dan ketaatan kepada Allah swt kerana hanya dari tekad inilah segala krisis yang pernah kita lalui pada tahun-tahun sebelumnya akan mampu kita atasi.

Selamat memulai tahun baru hijriyah dan selamat membangun masa depan umat ini dengan ketaqwaan yang hakiki.

Ya Allah berikanlah kekuatan tekad dan azam kepada kami untuk kami melakukan perubahan dalam diri dan jiwa kami sehingga kesan perubahan itu akan menjalar keluar ke dalam keluarga, masyarakat dan negara kami. Jadikanlah semangat hijrah ini sebagai bara yang akan menghidupkan semula perjuangan panjang silih berganti yang telah di mulai oleh para Rasul terdahulu hingga mu'min terakhir yang hidup di muka bumi ini.

Ameen Ya Rabbal Alameen

Wan Ahmad Sanadi Wan Ali
Pengerusi JK Tarbiah IKRAM Shah Alam

"Ukhuwah Teras Kegemilangan"

No comments: