Menegah kemungkaran satu tanggugjawab; Adakah pendosa dikecualikan?


Adalah tanggugjawab setiap Muslim untuk beramar makruf nahi mungkar (mengajak ke arah kebaikan dan menegah kemungkaran) secara berhikmah, dalam batasan kemampuan masing-masing. Nabi Muhammad (saw) menjelaskan perkara ini dalam sabdanya:
“Barangsiapa di antara kamu yang melihat akan kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya (kuasanya). Jika sekiranya ia tidak berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya. Dan jika ia tiada juga berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan hatinya. Dan yang demikian itu (iaitu mengubah dengan hatinya) adalah selemah-lemahnya iman”. (HR Muslim)

Kita harus menegah kemungkaran secara berhikmah iaitu menegur sewajarnya agar manfaatnya mengatasi mudaratnya sekaligus memastikan agar diri kita sendiri tidak terlibat dalam kesalahan yang lebih besar (cth: ujub, menghina & mengherdik sesama saudara dsb)

Persoalannya, adakah seorang pendosa dikecualikan dari tanggugjawab untuk menegah kemungkaran?
Adakah wajar sindiran masyarakat yang berbunyi, 'Seorang yang buta manakan dapat memimpin seorang buta yang lain'

Musliman Muslimat sekalian,
Hakikatnya, menegah kemungkaran adalah satu kewajiban agama ke atas setiap satu dari kita tidak kira samada kita melakukan dosa mahupun tidak.

Akan tetapi, ada beberapa petikan dari Al-Quran & Hadith yg kelihatan seolah-olah menghalang pendosa dari menegah kemungkaran. Mari kita teliti dalil-dalil tersebut:
Nabi Muhammad s.a.w bersabda:
Seorang lelaki akan dihadapkan pada Hari Kebangkitan dan dibaling ke dalam api neraka. Isi perutnya akan terkeluar dari kerongkongnya dan dia akan diikat dan digantung dengannya seperti keldai berpusing di ladang. Penghuni neraka akan berkumpul mengelilinginya sambil bertanya kehairanan "Kenapa dengan kamu? Bukankah kamu selalu mengajak kami ke arah kebaikan dan menegah kami dari kemungkaran?"

Dia akan menjawab, "Ya, saya mengajak kalian melakukan suatu kebaikan padahal saya sendiri tidak melakukannya dan saya menegah kalian dari suatu kemungkaran padahal saya sendiri tidak dapat mengawal diri saya dari kemungkaran itu" Sahih Muslim (2989)

Sebahagian dari anda mungkin berpendapat bahawa lelaki tadi diseksa kerana dia menegah kemungkaran padahal dia adalah seorang pendosa. Ini adalah satu salah faham yang besar kerana tanggungjawab untuk mengajak ke arah kebaikan dan menegah kemungkaran akan diperkenankan dan diganjari Allah s.w.t. selagimana ia dilakukan dengan niat yang baik secara ikhlas. Lelaki tadi diseksa kerana dia melakukan kemungkaran yang sama yang ditegahnya kepada yang lain (Cth: menasihat saudara lain agar tidak mencuri padahal dirinya sendiri seorang pencuri). Kesalahan lelaki itu terletak pada sikapnya yang memperindahkan luaran di hadapan saudaranya yang lain padahal jiwanya rapuh di tangan syaitan. Seksaan itu adalah balasan bagi dosanya & bukan kerana menegah kemungkaran.
Ada juga ayat Al-Quran yang berbunyi: Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal? (Al-Baqarah:44)

Dalam ayat ini, Allah s.w.t. menegur golongan ini kerana mereka berpaling dari kebenaran padahal mereka benar-benar mengetahuinya. Mereka berbeza dari golongan yang jahil (tidak mengetahui) yang barangkali akan patuh sekiranya mereka tahu.Mereka tidak ditegur kerana mengajak ke arah kebaikan. Mereka ditegur kerana mereka melihat bukti dan menyeru orang lain melalui bukti tersebut tetapi tetap melakukan dosa sementara mereka berilmu. Oleh itulah ayat itu disudahi dengan pertanyaan, 'tidakkah kamu berakal?'

Maka dengan itu, mengajak ke arah kebaikan adalah satu kewajiban ke atas kita walaupun kita sebagai insan yang lemah seringkali melakukan dosa.
Seorang penyajak pernah berkata:
Kiranya setiap jiwa yang berdosa menganggap dirinya tidak layak untuk menegur saudaranya, Maka siapakah saja yang layak selepas pemergianmu, Ya RasulAllah?

Tiada siapa di kalangan umatnya (s.a.w.) yang maksum. Walaubagaimanapun, adalah tanggugjawab kita semua agar kita berpegang pada 4 perkara berikut:
1. Lakukan perkara yang baik/makruf
2. Ajak saudara lain untuk melakukan perkara yang baik/makruf
3. Cegah diri sendiri dari melakukan perkara yang mungkar
4. Menegah orang lain dari melakukan perkara yang mungkar

Muslimin Muslimat,
Kiranya anda gagal melakukan salah satu darinya, ia tidak mengecualikan anda daripada melakukan 3 yang lain. Maka, Pendosa tetap memegang tanggugjawab Amar Makruf Nahi Mungkar.
Wallahu'alam

Terjemahan dari teks ucapan Sheikh Salman al-Oadah oleh Sana Iqbal

1 comment:

Anonymous said...

asslammualaikum, ana minta izin gunakan gambar di dalam post anta ini untuk blog ana yaa...sebenarnya sudah diambil pun..hehe

sayoutloud.blog.com