Peristiwa di bulan Zulkaedah

Sumber dari http://zadud-duat.blogspot.com/2010/10/peristiwa-di-bulan-zulkaedah.html

Oleh: ‘Atif Abdul Hadi


Bulan Zulkaedah adalah bulan Arab dan Islam yang mulia, salah satu bulan-bulan Haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab), dan salah satu bulan haji (Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah). Pada bulan yang agung ini berlaku beberapa peristiwa menarik yang telah ditempuh oleh tentera Islam. Kami akan bicarakan beberapa peristiwa yang berlaku pada bulan ini semoga ianya menjadi peringatan, pengajaran supaya umat kita mencapai kemajuan, kemuliaan dan ketuanan seperti sebelumnya.

Perjanjian Hudaibiyah
Berlaku pada bulan Zulkaedah tahun 6 Hijrah. Rasulullah telah keluar dari Madinah bersama hampir 1400 orang sahabat dengan tujuan ke Mekah untuk mengerjakan umrah. Tatkala musyrikin Mekah mengetahui berita ini mereka telah mengumpulkan pasukan yang berbeza keturunan bangsanya dan keluar dari Mekah untuk menyekat Rasulullah dan sahabat daripada mengerjakan umrah pada tahun tersebut. Lalu Rasulullah telah kembali ke Madinah setelah termetri satu perjanjian (sulh) yang membenarkan baginda datang pada tahun depan. Baginda tidak menetap lebih tiga hari di sini. Melalui Hubaibiyah musyrikin dan Rasulullah bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata selama sepuluh tahun. Melalui perjanjian ini juga disyaratkan Rasulullah menghantar pulang orang kafir yang ingin memeluk Islam, sebaliknya musyrikin tidak perlu menghantar pulang orang-orang Islam yang menjadi kafir.

Biarpun perjanjian Nampak berpihak kepada musyrikin namun Rasulullah menerima semua syarat-syarat yang ditetapkan oleh musyrikin. Sebelum Hudaibiyah berlaku Baitur-Ridhwan setelah tersebar berita Uthman bin Affan telah dibunuh, iaitu janji setia muslimin untuk bersama Rasulullah membela kematian Uthman. Rasulullah telah menghantar Uthman kepada pihak Quraish untuk memberitahu tujuan kedatangan nabi dan muslimin bukan mahu membunuh sesiapa tetapi sekadar mengerjakan umrah sahaja. Allah telah memuji orang-orang mukmin dan menurunkan ayat tentang mereka:

“Sesungguhnya Allah telah redha terhadap orang-orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pohon, Maka Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat (waktunya)”.(Al-Fath: 18)

Umrah al-Qada’
Pada tahun ke 7 Hijrah, Rasulullah saw telah keluar daripada Madinah bersama 2000 muslimin untuk mengerjakan umrah. Baginda berjalan sehingga tiba di Mekah dan terus mengerjakan umrah, melakukan Tawaf di Baitullah dan bertahallul. Setelah selesai bertahallul baginda telah berkahwin dengan Maimunah bt al-Harith al-Hilaliyah r.a.

Hujjatul Wada’
Rasulullah mula keluar meninggalkan Madinah untuk menunaikan Hujjatul Wada’ (haji terakhir) pada penghujung bulan Zulkaedah tahun ke 10 Hijrah. Rombongan ini disertai ramai muslimin. Rasulullah menunaikan solat dua rakaat di Zulhalifah. Semasa tiba di Wadi al-Aqiq turun ayat al-Quran yang memerintah baginda supaya berkata kepada muslimin: “Ini ialah haji dan umrah sekali”. Bermaksud Allah menyuruhnya mengerjakan haji dan umrah sekali. Apabila tiba waktu pagi menyampaikan berita ini kepada rombongan muslimin.

Peperangan al-Firadh
Ia berlaku pada Zulkaedah tahun 12H. Pada peperangan ini berlaku pakatan jahat antara musyrikin Arab, Rom Kristian dan Parsi Majusi menentang tentera muslimin. Tentera muslimin yang dipimpin oleh Khalid bin al-Walid telah menang ke atas pakatan jahat ini. Firadh ialah suatu tempat di sempadan Sham, Iraq dan Jazirah di sebelah tenggara. Jumlah tentera pakatan Rom, Parsi dan Arab yang telah terkorban pada masa itu ialah seramai 100,000 orang dengan kesepakatan ahli sejarah. Menurut Yaqut al-Hamwi di dalam Mu’jam Buldan: Pasukan Rom, Arab dan Parsi telah bergabung dalam satu pakatan. Lalu berlaku satu pertempuran besar dan dahsyat di sana. Tentera musuh yang terbunuh seramai 100,000 orang!!


Pembukaan Bisan
Kota Bisan terletak di bahagian utara Palestin iaitu di sebelah tenggara. Pada Zulkaedah tahun 13H bersamaan 634M kota Bisan Berjaya dibuka oleh tentera muslimin yang dipimpin oleh panglima Syarhabil bin Hasanah dan Amru bin al-‘As

No comments: