Hidup di bawah naungan Al-Quran memerlukan cara berinteraksi yang benar apabila berhadapan dengannya. Cara berinteraksi yg benar pula adalah 'belajar untuk beramal’ dengannya. Untuk itu, Generasi salafussoleh adalah contoh terbaik dalam memberikan teladan kepada kita tentang bagaimana mengambil manfaat daripada Al-Quran yg merupakan rujukan tertinggi mereka di dalam lapangan ilmu.
Sufyan bin uyainah (salah seorang ulama’ salaf) berkata:
Ilmu yang paling pertama adalah mendengar, kemudian memahami, kemudian menghafal, kemudian mengamalkannya, kemudian barulah menyebarkannya. (Syu’abul Iman: 2/289)
Al-fudhail bin iyadh (juga merupakan salah seorang ulama’ salaf) berkata:
”Telah sampai berita kepadaku bahawa para ulama’ terdahulu, jika mereka mempelajari ilmu, mereka mengamalkannya, jika telah mengamalkannya mereka sibuk beramal, jika telah asyik beramal, mereka merasa kehilangan ilmu dan jika merasa kehilangan, mereka mencari ilmu lagi dan jika mencari, mereka mencarinya bersungguh-sungguh. (Al-Madkhal, Al-Baihaqi)
Begitulah petunjuk yg harus dilakukan bagi mereka yg ingin hidup di bawah naungan Al-Quran iaitu menjadikannya sebagai rujukan yg tertinggi dan kemudian berusaha sedaya-upaya untuk memahami lalu mengamalkannya.
Prof Yusuf Al-Qardawi didalam bukunya (Kaifa Nata’amalu Ma’a Al-Quran al-’Azhim) telah menerangkan beberapa cara berinteraksi dengan Al-Quran. Iaitu:
- Berinteraksi dengan Al-Quran Melalui Menghafal, Membaca dan Mendengarkannya
- Berinteraksi dengan Al-Quran melalui Kefahaman dan Tafsir
- Berinteraksi dengan Al-Quran Melalui Cara Mengikuti, Mengamalkannya dan Berdakwah
Inilah cara berinteraksi yang benar untuk membersihkan silap-paham masyarakat kita terhadap Al-Quran. Al-Quran bukanlah diturunkan untuk dibaca kepada orang yang sudah mati, tetapi ia dibaca utk orang yg hidup supaya mereka dapat mengamalkan hukum-hakam yang terdapat didalamnya. Al-Quran bukanlah diturunkan untuk menjadi hiasan dinding, tetapi ia diturunkan untuk menjadi hiasan kepada orang mukmin itu sendiri. Hiasan ini merupakan keberkatan yg dikurniakan oleh Allah s.w.t bagi mereka yg mengamalkannya sebagaimana firmanNya:
Dan Al-Quran itu adalah Kitab yang kami turunkan yang diberkati, Maka ikutilah dia dan bertakwalah agar kamu diberi rahmat. (Al-An’aam:155)
Keberkatan ini tidak akan turun kepada kaum yg hanya sibuk mengadakan pertandingan tilawah Al-Quran dan menyambut hari nuzul Al-Quran tetapi tidak mahu mengamalkan kandungannya!!! Kunci keberkatan tersebut hanyalah terletak pada pengamalan dan dakwah terhadap intipati ajaran Al-Quran itu sendiri..wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment