BAGAIMANA INGIN MENGUBAH DUNIAMU?

Dunia dan seisinya adalah suatu yang hina melainkan apa yg dicari untuk mendapatkan keredaan Allah s.w.t. Bagaikan mata wang, ianya dianggap bernilai apabila mendapat pengiktirafan daripada bank. Manakala wang yg palsu pula tidak dikira bernilai sekalipun nilainya mencecah jutaan ringgit. Begitulah juga halnya dengan dunia. Ianya dianggap bernilai jikalau ia dicari untuk mendapatkan pengiktirafan daripada Allah ‘Azzawajalla.

Dari Abu Darda’ r.a daripada Nabi s.a.w bersabda,
“Dunia itu dilaknat dan apa yang ada di dalamnya dilaknat, kecuali apa yang dicari dengan wajah Allah” (diriwayatkan oleh Tabrani, hasan li ghairihi)

Sikap orang yang ikhlas dengan dunianya
Tanda terbesar orang-orang yang ikhlas ialah amal yang mereka kerjakan semata-mata mengharap wajah Allah ‘Azzawajalla. Mereka memburu keikhlasan disetiap amalan dan membayar harga dunia dengan nilai ikhlas tanpa sedikitpun kotoran riya’. Apabila mereka melakukan kebaikan mereka berkata:

Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keridhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih. (Al-Insan:9)
Mereka tidak menginginkan sedikitpun balasan daripada manusia diatas kebaikan yang di lakukan. Lalu Allah membayar keikhlasan mereka dengan syurgaNya.

Maka Tuhan memelihara mereka dari kesusahan hari itu, dan memberikan kepada mereka kejernihan (wajah) dan kegembiraan hati. Dan dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka (dengan) syurga dan (pakaian) sutera. (Al-Insan:11-12)
Sabar dalam keikhlasan
Orang yang ikhlas juga bersikap sabar dalam setiap gerak-kerjanya. Ia mampu mengatur dunianya dengan teliti dan tidak tergopoh-gapah dalam melakukan suatu tindakan kerana yang dicarinya hanyalah keredhaan Allah. Dan keredhaan Allah tidak akan lari daripada mereka yang mengejarnya. Dunia bagi mereka hanyalah sebagai alat bagi mencapai matlamat yang hakiki iaitu Wajah Allah ‘Azzawajalla.

Berbeza pula dengan mereka melakukan sesuatu semata-mata kerana Dunia. Ia akan berusaha bersungguh-sungguh tanpa mengira kesannya samaada baik atau buruk. Ataupun boleh jadi ia hanya mengambil sikap sambil lewa apabila melakukan sesuatu pekerjaan. Apa yang penting bagi mereka adalah keuntungan. Lalu akan lahirlah penguasa yang korup, peniaga yang tamak, dan juga pelbagai watak lain yg hina sebagaimana hinanya dunia apabila tidak dicari kerana Wajah Allah.

Buah ikhlas
Disebabkan kesabaran mereka (orang yang ikhlas), Allah memberi mereka pertolongan dan juga kemenangan berupa syurgaNya sebagaimana firmanNya dalam surah Al-Insan:

Dan dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka (dengan) surga dan (pakaian) sutera.(Al-Insan:12)

Inilah dia janji Allah kepada hamba-hambaNya yang ikhlas. Cukuplah bagi kita dengan hadith:

Sesungguhnya Allah hanya menolong umat ini kerana orang-orang yang lemah diantara mereka, kerana doa mereka, solat mereka dan kerana keikhlasan mereka. (diriwayatkan oleh An-Nasai (3178) dan disahihkan oleh Al-Albani dalam sahih targhib wa tarhib)
Dan juga hadith:

“Berikan kabar gembira kepada umat ini dengan kemenangan, ketinggian dan juga kejayaan. Barangsiapa diantara mereka yang mengerjakan amalan akhirat untuk dunia, maka di akhirat nanti ia tidak mendapat apa-apa bahagian pun!!!”(Sahih Ibnu Hibban 405, Al-Arnauth mengatakan sanadnya hasan)

Islam tidak menolak dunia
Keikhlasan dan niat yang murni seseorang hamba dapat mengangkat amalan duniawi yang dikerjakannya dan menjadikannya bernilai ketaatan selagi mana ia tidak melanggar syariat.
Hal ini berdasarkan hadith:

“Sesungguhnya di setiap nafkah yang kamu keluarkan demi mengharap wajah Allah, kamu akan mendapatkan pahalanya; bahkan apa yang kamu suapkan ke mulut isterimu (turut mendapat pahala disebabkannya)’(H.R Bukhari)

Didalam menerangkan hadith di atas, Al-Imam An-Nawawi berkata, “Hadith ini membawa keterangan bahawasanya; jika sesuatu yang mubah (harus) itu dilakukan untuk mendapat redha Allah, ianya akan menjadi suatu ketaatan dan juga beroleh pahala disebabkannya ... misalnya,
- makan dengan niat untuk menguatkan badan supaya dapat menunaikan ibadah kepada Allah,
- tidur untuk beristirehat supaya dapat mengerjakan ibadah dengan segar sesudah tidur,
- bersenang-senang dengan isteri supaya dapat menjaga pandangan yang haram dan supaya dapat
melahirkan anak yang soleh.”(syarah Sahih Muslim, An-Nawawi:11/112)

Kerana itu golongan salaf seringkali menghadirkan niat yang baik untuk pelbagai amalan keduniaan selagi mana ia tidak bercanggah dengan syara’. Zubaid Al-Yami berkata, “Berniatlah untuk setiap amalan yang kamu inginkan kebaikan padanya, sekalipun disaat kamu pergi ke tempat pembuangan sampah.”(Jami’ul Ulum Wal Hikam, Ibnu Rajab:1/70)

Sebagaimana ikhlas mengangkat perkara yang mubah ke darjat ketaatan, maka riya’juga menjatuhkan ibadah khususiah dan membalikkannya menjadi kemaksiatan yang nista.
Allah s.w.t berfirman:

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riya kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, Kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah dia bersih (Tidak bertanah). mereka tidak menguasai sesuatupun dari apa yang mereka usahakan; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir.(Al-Baqarah: 264)

Di dalam ayat ini Allah ‘Azzawajalla memberi perumpaan kepada orang yang berbuat riya’dengan batu licin yg di atasnya ada tanah, apabila hujan turun, maka hilanglah tanah itu.

Kata Ibnu Katsir:
Hujan itu menjadikan batu itu licin, tidak ada satu pun yang tinggal di atasnya, kerana semua tanah yang di atasnya telah hilang. Demikianlah halnya dengan amal perbuatan orang yang berbuat riya’, ianya akan hilang dan lenyap di sisi Allah, walaupun amalan tersebut nampak oleh mereka, sebagaimana tanah di atas batu tersebut. (Tafsir Ibnu Katsir)

No comments: