SELAMAT PENDEK UMUR!

“Selamat pendek umur,” saya bergurau.

Sahabat saya agak tersentak, namun tetap senyum. Dia faham, saya hanya bergurau.

“Kenapa pula?” tanyanya. Dia kelihatan ceria. Hari ini ulang tahun hari kelahirannya. Saya meraikan dia dengan belanja makan di restoran berhampiran tempat kami bekerja.

“Yalah, bukankah tarikh mati telah Allah tetapkan di dalam rahim ibu lagi. Ertinya, semakin hari, semakin dekat langkah kita menuju ketetapan itu.”

“Makna, semakin hari semakin pendeklah umur kita?” tingkahnya penuh pengertian.“Ya, hari ini setapak lagi kita dekat dengan kematian.”


“Pelik, selalunya bila hari lahir orang bercakap tentang hidup. Tentang kejayaan. Tentang pencapaian. Sekarang kita bercakap tentang kematian pula.”

“Siapa yang tidak bercakap tentang mati akan ‘mati’,” balas saya.

“Kenapa pula?”

“Hukama berkata, sesiapa yang tidak tahu untuk apa dia akan mati, maka dia tidak layak hidup!”

“Untuk apa kita mati?”

“Untuk hidup,” kilas saya lagi, sekadar bermain kata, bersilat bahasa untuk meninggikan makna. Dia diam. Menung dan alam fikirnya telah terusik barangkali.



“Mati untuk hidup?”

“Ya, mati bukanlah suatu pengakhiran tetapi hanya satu permulaan.”

“Satu permulaan? Maksud kau?”

“Mati adalah satu permulaan kepada hidup yang tidak mati-mati lagi – alam akhirat.

Kau masih ingat kata-kata Umar Ibn Aziz yang aku sering ungkapkan dulu?”

“Hampir terlupa. Waktu di kampus dulu?”

“Umar berkata, manusia diciptakan untuk hidup selamanya. Hidup selepas mati itulah hidup yang hakiki!”

Terkesima dia. Jari-jarinya mula menepuk-nepuk meja. Perlahan. Tetapi saya yakin gerakan mindanya makin laju. Dia biasa begitu.


“Jadi, hidup ini untuk mati dan mati itu untuk hidup?”

Wah, saya pula yang terkejut mendengar liuk lentok bahasanya. Berputar-putar seputar maknanya.

“Ya. Hidup di sini, di dunia ini, adalah tanaman untuk tuaian pada hidup di sana, di akhirat. Itulah tujuan hidup yang fana ini, demi kelangsungan hidup yang baqa itu.”

“Jika demikian apa ada pada umur?”

“Umur hanyalah putaran suria, purnama dan buana yang dilakarkan oleh jarum jam, minit dan saat sebuah arloji,” balas saya.

Seronok sekali sekala, berbual dengan bahasa berbunga di sulam kosa kata yang berputik dan berbuah.


“Maksudnya kita abadi?”

“Ya, tapi bukan abadi seperti Khalik (pencipta) yang tidak ada permulaan dan tidak ada pengakhiran. Kita tetap makhluk.”

“Jika demikian, umur itu relatif juga kan?”

“Ya, kan Einstein pun fahamnya begitu? Masih ingat Teori Relativiti masa?”

“Panjang dan pendek umur bukan pada kuantiti tapi pada kualiti.”

“Juga bukan pada yang zahir tapi juga yang maknawi.”

Semakin rencam perbincangan kami. Tidak mengapa, sekali-sekala apa salahnya, berfalsafah kekadang lebih indah.


“Imam Nawawi, pendek umurnya tetapi ‘panjang’ ilmu dan abadi jasanya.

Imam Syafi’i, Imam Ghazali, tidak sempat pencen istilah orang sekarang, namun impak perjuangan mereka melangkaui dekad dan abad,” tambahnya memberi contoh.


“Umar Ibn Aziz memerintah hanya kurang lebih 2 tahun sahaja tetapi keunggulannya mengatasi khalifah Umayyah sebelum dan selepasnya,” sambungnya lagi.


“Rupa-rupanya petua nak panjangkan umur ialah dengan panjangkan amal, panjangkan ilmu, panjangkan jasa,” kata saya seakan merumuskan.


“Harta boleh panjangkan umur…sedekah atau wakafkan, jadilah amal jariah. Pahalanya berterusan.

Akhlak boleh panjangkan umur…hubungkan silaturahim, panjanglah umur kita. Demikian maksud hadis.”


“Apakah rahsia kejayaan orang yang ‘panjang’ umur itu?”

“Mereka sedar tentang tujuan! Mereka adalah peribadi yang sentiasa sedar akan tujuan segala sesuatu. Mereka tahu tujuan hidup, mereka tahu tujuan mati. Mereka mencari tujuan pada setiap tindakan.”

“Hasilnya?”

“Dunia sentiasa menyediakan jalan kepada orang yang punya tujuan. When there is will, there is a way!”

“Tapi kita bukan mereka?”

“Betul. Tapi itu bukan kelemahan, bahkan satu kekuatan. Setiap kita adalah unik. Tuhan tidak menciptakan manusia bodoh, tetapi Dia mencipta manusia dengan kebijaksanaan berbeza.”

“Kita lebih bijak daripada mereka?”

“Ya, di sudut-sudut tertentu. Seorang pemandu lebih bijak daripada seorang professor dari segi pemanduan kereta.”


“Tetapi keintelektualan lebih berharga daripada kebolehan memandu kereta. Professor lebih berharga daripada seorang driver. Gaji mereka lebih tinggi.”

“Maksudnya, umur seorang professor lebih ‘panjang’ berbanding seorang driver? Maksud kau begitu?”

“Perbezaan itu bukan perbezaan taraf, tetapi perbezaan jalan. Jalan untuk seorang driver menjadi hamba Allah berbeza dengan jalan seorang professor. Itu sahaja.”

“Kau tidak mengiktiraf darjat orang berilmu?”

“Tidak begitu. Orang berilmu memang dilebihkan beberapa darjat…tapi dengan syarat, mereka takutkan Allah. Kan itu takrif sebenar seorang ulama’?”

“Maksudnya?”

“Seorang driver yang takutkan Allah lebih tinggi darjatnya daripada seorang professor yang tidak takutkan Allah. Tetapi sekiranya kedua-duanya takutkan Allah, tentu sahaja ‘umur’ professor itu lebih panjang daripada umur driver lantaran ilmu dan amalannya yang lebih tinggi dan berharaga!”


“Ah, surah al-Baqarah menukilkan seorang yang mati di jalan Allah hakikatnya terus hidup. Syuhada mendapat pahala dan kurnia berterusan daripada Allah. Jadi, satu petua lagi untuk panjang umur ialah mati syahid,” ujar saya mengalih arus perbualan.


“Benarlah kata ahli sejarah, para sahabat Rasulullah itu hidup kerana mereka mencintai mati. Dan generasi hari ini ‘mati’ kerana terlalu mencintai hidup.”


“Wah, terlalu panjang perbualan kita petang ini. Apa pun aku ingin mengucapkan ‘selamat panjang umur’ sempena hari lahir kau yang ke-40 tahun hari ini,” pintas saya sambil bangun. Jam telah menunjukkan pukul 6 petang. Hari semakin pendek.


“Eh, tadi kau kata ‘selamat pendek umur’, sekarang dah bertukar balik seperti ucapan biasa yang aku dengar, selamat panjang umur?” dia bertanya hairan.


“Eh, kau lupa agaknya. Maksud ‘panjang umur’ku berbeza daripada biasa. Maksudku, selamat menambah ilmu, selamat menambah amal, selamat mengeratkan silaturahim, selamat menambahkan sedekah, selamat menambahkan rasa takut kepada Allah. Iulah maksud selamat panjang umur!”


Dipetik daripada buku "Nota Hati Seorang Lelaki, Pahrol Mohd. Juoi"


No comments: